Hiwalah Solusi Masalah Pengabaian Nafkah
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Pelaksanaan hiwalah boleh menjadi sebagai salah satu cara penyelesaian terhadap masalah pengabaian nafkah oleh bekas suami terhadap keluarganya.
Hiwalah merujuk kepada proses pemindahan wang atau hakmilikan melalui akaun bank atau institusi kewangan bekas suami atau bapa yang culas dalam pemberian nafkah oleh pihak Mahkamah Syariah, untuk digunakan bagi melunaskan tuntutan nafkahnya.
Hal ini bagi memastikan hak nafkah dan mut’ah bekas isteri serta anak-anak tidak diabaikan oleh seorang bekas suami atau bapa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata dengan adanya perintah hiwalah, nasib wanita bergelar isteri serta anak-anak lebih terbela.
"Secara teorinya kaedah ini sangat bagus untuk membantu mengurangkan atau menyelesaikan masalah nafkah tertunggak, namun untuk pengetahuan sidang hadirin hadirat sekalian proses hiwalah ini agak sulit dilaksanakan kerana kesukaran untuk mendapatkan maklumat pihak suami dari institusi kewangan.
"Oleh itu, suka untuk saya mencadangkan agar kaedah hiwalah ini mendapat perhatian pihak yang terlibat, dan memohon agar prosesnya dipermudahkan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, kelmarin.
Walau bagaimanapun masih ramai wanita dari kalangan ibu tunggal yang belum mendapat pendedahan mengenai alternatif bagi menuntut hak mereka dari sudut nafkah.
Zuraida mencadangkan agar turut diadakan sebaran ilmu literasi undang-undang bagi memastikan keadilan kepada wanita-wanita Terengganu dapat ditegakkan.
Menurut beliau lagi, perintah hiwalah bukanlah semata-mata ingin menghukum bekas suami, namun bersifat mendidik supaya para suami tidak mengambil ringan perihal nafkah dan supaya mereka menjadi lebih bertanggungjawab.
Cadangan pelaksanaan hiwalah ini mendapat respon yang positif daripada Kerajaan Negeri Terengganu.