Hormati Keputusan Mahkamah- Dr Ahmad Samsuri

Dr Ahmad Samsuri (tengah) berkata sesuatu pada sidang media Majlis Perasmian Seminar kearifan Tempatan-Tekstil Serta Pelancaran e-Commerce Muzium Maya Dan Pelancaran Buku Kearifan Tempatan di Kompleks Muzium Negeri, hari ini. Foto Oleh: Abu Ubaidah Mohd Noor
Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau mana-mana pihak yang tidak berpuas hati diingatkan supaya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu berhubung hukuman terhadap dua wanita hari ini selepas didapati bersalah kerana cuba melakukan hubungan sejenis baru-baru ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan yang dibuat berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 termaktub di bawah bidang kuasa mahkamah syariah di negeri ini.

“Peraturan dan enakmen itu sudah ada dalam undang-undang Negeri Terengganu dan sebarang penguatkuasaan terhadap peraturan, undang-undang dan enakmen ini adalah perkara biasa yang perlu dilakukan.

“Sebagai pentadbir sebuah kerajaan kita mendokong peraturan dan mana-mana yang dilihat satu tindakan yang salah mengikut enakmen, undang-undang dan peraturan haruslah diambil tindakan berasaskan kepada prinsip perundangan,” ujarnya sebagai mengulas mengenai pelaksanaan sebatan terhadap dua wanita itu yang dijalankan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar kearifan Tempatan-Tekstil Serta Pelancaran e-Commerce Muzium Maya Dan Pelancaran Buku Kearifan Tempatan di Kompleks Muzium Negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri,  Ariffin Deraman; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Dato’ Kamarul Bahrin A. Kassim dan Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Che Muhammad Azmi Ngah.

Dr Samsuri berkata, hukuman sebatan terhadap pesalah lesbian kali pertama yang dilaksanakan di Terengganu itu membuktikan bahawa tujuan sebenar hukuman dalam Islam bukanlah untuk memudaratkan, bukan juga untuk menzalimi tetapi ia merupakan proses pendidikan.

“Di pihak kerajaan negeri peranan kita adalah untuk memberi kefahaman kepada rakyat dan bagaimana kita hendak menukarkan persepsi masyarakat terhadap hukuman ini yang bertujuan untuk mendidik.

“Itulah antara prinsip yang perlu kita faham bahawa pihak berkuasa menjalankan hukuman berdasarkan kepada keputusan mahkamah dan kita perlulah menghormati keputusan dibuat begitu juga dengan pihak di luar sana,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, hubungan songsang sebegini perlu dibendung dan tidak wajar berlaku di negeri ini dan diharap hukuman tersebut akan menjadi pengajaran buat pesalah serta masyarakat.

“Telah ada peraturan bahawa perkara yang dilakukan itu tidak boleh. Tentulah orang yang melakukan kesalahan mencari pelbagai alasan, apatah lagi perbuatan yang dibuat itu bertentangan dengan hukum agama, adat, budaya dan masyarakat,” ujarnya lagi.


Tag: