Hospital Dungun Dijangka Beroperasi Februari Depan
KUALA LUMPUR, 20 September - Hospital Baharu Dungun yang diklasifikasi sebagai projek sakit dijangka beroperasi Februari tahun depan.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berharap pengumuman Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat semalam akan menjadi kenyataan.
"Besarlah harapan kita di Dungun agar ia benar-benar dapat digunakan pada hujung Februari 2024 setelah penantian sekian yang begitu lama," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman semalam.
Sebelum itu, dalam Persidangan Dewan Rakyat, Wan Hassan memohon supaya Kerajaan Persekutuan menyatakan perkembangan hospital terbabit.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menyatakan perkara sama sambil mengharapkan pihak kerajaan dapat menyelesaikan isu itu tepat pada masanya kerana ia berkait dengan keperluan rakyat.
Sambil berseloroh Presiden PAS itu berkata, di negeri Terengganu ada hospital yang telah dibina berpuluh tahun.
"Tetapi tidak boleh digunakan kerana tidak lulus," katanya.
Ketika menjawab soalan lisan berkenaan, Dr. Zaliha berkata projek berkenaan dijangka siap pada 24 Januari 2024.
"Masalah kelewatan projek pembangunan Hospital Dungun, kontraktor asal telah ditamatkan pada 14 Julai 2022 semasa kemajuan kerja fizikal telah pun mencapai 99. 86 peratus,
"Kontraktor penyiap telah dilantik oleh JKR pada 5 Mei tahun ini dan dijangka siap pada 24 Januari tahun depan dan dapat digunakan selepas itu," jelasnya.