Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Hospital Kemaman baharu yang bernilai RM420 juta dijangka siap pada 19 Disember 2021 bakal menyediakan kemudahan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat di daerah ini sekali gus mempengaruhi mutu perkhidmatan kesihatan di seluruh Terengganu.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kemudahan hospital baharu serba canggih dan moden seperti Hospital Putrajaya itu juga bakal menjadi pemangkin kepada pertubuhan ekonomi lebih pesat terutamanya dalam industri minyak dan gas di daerah ini yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.
"Kita amat berterima kasih terutamanya kepada Perdana Menteri kerana meluluskan permintaan penduduk di sini untuk memperoleh sebuah hospital baharu kerana hospital sedia ada amat menyedihkan.
"Surat kebenaran (untuk memulakan kerja pembinaan) sudah diberikan dan ia dijangka siap dalam masa empat tahun empat bulan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Majlis Kesyukuran Sempena Pembinaan Hospital Baharu Kemaman di pekarangan Pejabat Dun Kijal di Bandar Baru Kijal, Kemaman, semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Umno Bahagian Kemaman merangkap Adun Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastuktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri yang juga Adun Kemasik, Ir Rosli Othman.
Mengulas lanjut mengenai hospital baharu berkenaan, Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, hospital setinggi sembilan tingkat yang dibina di atas tanah seluas kira-kira 22 hektar itu akan mempunyai 300 katil.
"Ia akan menjadi satu hospital daerah yang besar di negeri ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mohammad Omar berkata, dengan adanya kemudahan hospital baharu itu Kemaman akan memiliki dua hospital kerana apabila hospital baharu siap, hospital sedia ada akan dijadikan sebagai Hospital Wanita dan Kanak-kanak.
Bagi hospital baharu pula, katanya, ia akan turut dilengkapi dua unit rawatan rapi (ICU) khas untuk kebakaran kerana risiko untuk berlakunya kebakaran sangat tinggi memandangkan industri petrokimia menjadi tunjang ekonomi Kemaman.
"Pembinaan hospital ini juga akan menaiktaraf perkhidmatan kepakaran sedia ada dari sembilan kepakaran kepada 20 kepakaran dan sub kepakaran di Hospital Kemaman sekaligus akan mengurangkan rujukan pesakit ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang.
"Hospital baharu ini sama canggih dengan hospital besar negeri dan ia juga akan menarik kehadiran pesakit dari utara Pahang," katanya.
Katanya, kemudahan lain yang tersedia adalah lapan dewan bedah, unit rawatan kritikal (CCU), pusat pemulihan rawatan jantung.
Mohammad berkata, kerja-kerja tanah pembinaan projek itu dijangka dimulakan pada Mac depan dan pihaknya berharap agar pihak kontraktor yang dilantik, Syarikat Ufuk Semarak Sdn Bhd dapat menyiapkan projek mega itu mengikut jadual yang ditetapkan memandangkan sebelum ini projek berkaitan hospital di seluruh Terengganu sering mengalami masalah.