Hotel Di Pulau Poh Dijangka Siap Hujung 2018


Hotel lapan tingkat di Pulau Poh, Tasik Kenyir yang sedang dibina bakal siap sepenuhnya menjelang hujung 2018.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, hotel dilengkapi 150 bilik tersebut mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, hotel tersebut bakal diletakkan di bawah konsortium dan dikelola oleh Terengganu Incorporated Sdn Bhd.

"Semua hotel yang ada di Terengganu (milik kerajaan negeri) berada di bawah satu konsortium dan hotel ini juga akan diletakkan bawah konsortium.

"Saya rasa ia tiada masalah kerana Terengganu Incorporated ini mempunyai pengalaman dalam menguruskan hotel," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam lawatannya di Tasik Kenyir, hari ini.

Ahmad Razif berkata, hotel dengan kos yang RM100 juta tersebut dibina berdasarkan permintaan oleh pengunjung Tasik Kenyir.

Tambahnya, dengan sambutan yang semakin bertambah, infrastruktur juga turut akan ditambah di kawasan itu.

"Saya difahamkan akan ada banyak lagi pemaju akan mendirikan resort di Tasik Kenyir memandangkan pengunjung di sini semakin hari semakin bertambah.

"Selain daripada memberi fokus kepada pelancong domestik kita juga akan tumpukan kepada pelancong asing terutamanya dari Eropah dan China," katanya.

Tag: