Hotel, Taman Tema Tasik Kenyir Dijangka Beroperasi Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Projek hotel di Pulau Poh, Tasik Kenyir yang tertangguh lama pembinaannya sebelum sebelum ini kini berada di landasan terbaik untuk beroperasi Jun 2022 apabila dijangka siap dibina pada akhir 2021.
Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, pihaknya sedang menyediakan dokumen Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi pemilihan syarikat berkelayakan sebagai pengurus pusat penginapan dengan 150 bilik tersebut.
“Di samping itu, kita juga akan membaik pulih taman tema air di tempat sama dengan kos tambahan sebanyak RM1.5 juta. Taman Tema ini akan menggabungkan konsep pusat penginapan dan rekreasi keluarga.
“Formula terbaik adalah dengan melantik satu syarikat pengurusan bagi hotel tiga bintang dan ‘waterpark’, namun kita akan meneliti pemilihan ini dengan senarai nama pemain industri yang kukuh bagi pengoperasian semula tasik kenyir dengan beberapa tarikan menarik.
“Kita juga memberi ruang kepada peniaga dalam negeri jika mereka ada cadangan yang baik, namun kita tekad dalam memastikan projek ini berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Hi-tea bersama Kumpulan Terengganu Inc, petang semalam.
Tambahnya, dengan penyiapan jambatan di Pulau Poh dan dua projek lain iaitu Marina Dome dan Hotel Pulau Poh akan memberi manfaat ekonomi buat komuniti setempat.
Tegas Burhanuddin, syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri tersebut komited dengan mandat kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan di kawasan tersebut tidak terus diibaratkan seperti gajah putih.
“Kita telah bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan pasukan yang bakal mengendalikan pusat peranginan tersebut berkemahiran tinggi dalam bidang pengurusan yang sesuai, ini akan dicapai melalui pemilihan khusus kerana ia bukan perkara kecil,” katanya lagi