KUALA TERENGGANU, 2 Mei - Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai bagi kesalahan syariah yang sedang dipertimbangkan kerajaan negeri bukan bertujuan untuk memalukan pesalah sebaliknya ia merupakan usaha memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerksaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dakwaan segellintir pihak yang merasakan hukuman itu tidak wajar adalah kurang tepat.
Katanya, isu itu perlu melihat kepada falsafah hukuman tersebut secara menyeluruh yang secara tuntasnya bertujuan untuk mendidik dan mempunyai perkaitan dunia dan akhirat.
"Dalam konteks ini kita mahu menyedarkan masyarakat supaya kesalahan-kesalahan maksiat dan kemungkaran ini tidak menjadi satu perkara normal dalam masyarakat
"Jadi bila kita sebut nak laksanakan di khalayak ramai bukan bermaksud ia dibuat sewenang-wenangnya di khalayak ramai tanpa mengambil kira pelaksanaan dalam penjara dan aspek-aspek yang lain ini adalah salah satu daripada hukuman yang boleh dipertimbangkan oleh hakim.
"Jika sekiranya ia sesuai dengan 'maslahah umum' untuk menyedarkan pesalah sebagai contoh mereka yang telah melakukan kesalahan kerap kali, jadi sekiranya lebih daripada tiga kali elok diadakan di khalayak untuk menyedarkannya supaya tidak lagi mengulanginya pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka PAS DUN Bandar di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, segelintir pihak yang mendakwa ia tidak wajar dilakukan di khalayak juga perlu sedar dan melihat bahawa ia bukan hukuman mendatangkan kecederaan kepada pesalah.
"Ia bukan (semata-mata) untuk menghukum pesalah tetapi dalam masa yang sama kita mahu memberi satu pendidikan kepada masyarakat bahawa hukuman ini tidak sama dengan hukuman (dijalankan) mahkmah sivil yang lebih menghukum dan menyakiti pesalah.
"Undang-undang dalam jenayah syariah tidak mencederakan, jadi mereka yang dihukum di sisi Islam di atas dunia kemudian dia bertaubat maka dia tidak lagi dihukum oleh Allah di akhirat kelak," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, hukuman sebat bagi pesalah syariah di khalayak ramai itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
"Merupakan salah satu daripada hukuman yang diberikan keizinan atas tiket budi bicara Hakim Mahkamah Syariah untuk dilaksanakan sekiranya pesalah tersebut pada pandangan hakim adalah bagi mengajar dan memberikan pengajaran kepada masyarakat.
"Maka hendaklah dilaksanakan di khalayak," katanya.