Hutan Berusia Lebih 200 Tahun, Tarikan Pengkaji Dan Pencinta Alam
DUNGUN, 10 Oktober – Dengan jarak 20 kilometer dari pesisir Pantai Dungun, terdapat sebuah hutan berusia lebih 200 tahun dengan flora dan fauna jarang disentuh pembangunan serta pencerobohan manusia di Pulau Tenggol.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Roslan Rani berkata, hutan simpan tersebut telah diwartakan sejak tahun 1941 merupakan antara 44 hutan simpan kekal di dalam negeri dengan keluasan 207 hektar.
“Dari segi flora dan fauna di sini, terdapat pelbagai jenis pokok dan tumbuhan seperti di sebelah timur menghadap Laut China Selatan diatas geologi batu batan dengan tumbuhan renek.
“Manakala di sebelah barat kita lihat kawasan hutan amat baik dengan pelbagai pokok Balau Laut dan Meranti bersaiz lebih 120 cm lebar dianggarkan berusia lebih satu abad.
“Dari segi petak, kita mempunyai satu petak hutan simpan dara (VJR) yang boleh dibuat kajian spesis-spesis asal untuk rujukan ekologi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Tambahnya, antara spesis herba yang terdapat di lantai hutan seperti Tongkat Ali, Bogak (kawasan berbatu) dan lain-lain sesuai bagi kerja kajian.
Menjelaskan perancangan jabatannya, Roslan mencadangkan supaya dipasang papan tanda tentang jenis-jenis tumbuhan serta maklumat tentang larangan ‘Do’s and don’ts’ bagi mendidik pengunjung tentang hutan perlindungan tersebut.
Sementara itu, pemilik bersama Tenggol Coral Beach Resort, Galaxxy Siew berkata, kewujudan hutan simpan tersebut juga merupakan satu daripada daya tarikan pelancong ke pulau itu terutama pencinta alam semula jadi.
"Kita memang sangat berharap kawasan hutan di Pulau Tenggol ini sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti pembangunan kerana ia memberi satu lagi nilai tambah kepada Pulau Tenggol kerana bukan sahaja golongan penyelam malah mereka yang sukakan tumbuh tumbuhan juga akan suka datang ke sini.
"Kewujudan hutan simpan yang mengelilingi kawasan pulau juga menjadikan cuaca di sini sentiasa redup dan teduh. Jadi, pelancong dapat mandi di pantai tanpa rasa panas walaupun pada waktu tengah hari," katanya.
Dalam pada itu, Siew berkata bagi menggalakkan pengunjung lebih menghargai Hutan Simpan Pulau Tenggol, pihaknya menyediakan laluan pendakian di sebuah bukit berhampiran resort itu yang kira-kira 100 meter.
Beliau berkata apabila berada di puncak bukit tersebut. para pendaki bukan sahaja disajikan dengan pemandangan Laut China Selatan malah mereka akan dapat menikmati kehijauan kawasan Hutan Simpan Pulau Tenggol yang terletak di bahagian belakang bukit.