Hutang LPT 2 : MB Bakal Adakan Perbincangan Bersama PM

MARANG, 8 Jun - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diundang Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk bertemu Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan isu hutang LPT 2.

Ahmad Samsuri berkata, perjumpaan berkait penyelesaian hutang kerajaan Persekutuan dengan negeri itu akan diadakan dalam masa terdekat.

"Hasil perbincangan awal dengan Menteri Kewangan ada!ah positif dan tunggu masa yang sesuai dalam waktu terdekat untuk berjumpa Ismail Sabri.

"Langkah yang diambil adalah untuk mengadakan pertemuan melibatkan kami bertiga bagi membincangkan penyelesaian ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas hadir melakukan penyerahan Projek Membina Rumah Baru Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Bukit Kemas, Kelulut, di sini semalam.

Untuk rekod, tuntutan hutang berbaki RM1.43 bilion secara pembayaran tunai sudah dilakukan kerajaan negeri.

Sebelum ini, hutang yang berjumlah RM1.85 bilion sudah dibayar balik RM418.5 juta dalam bentuk projek di samping telah menerima pendahuluan tunai RM200 juta.