Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Pecah Rekod Sedekad, Hasil Negeri Cecah RM454 Juta
Terengganu Pecah Rekod Sedekad, Hasil Negeri Cecah RM454 Juta
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
45

KUALA TERENGGANU, 8 September – Terengganu mencatat kutipan hasil negeri sebanyak RM454 juta pada 2025, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan kerajaan negeri memperkukuh kedudukan kewangan menerusi peningkatan kutipan daripada sumber negeri sendiri.

Katanya, jumlah berkenaan merangkumi hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil, manakala hasil tanah dan galian sahaja menyumbang sebanyak RM264 juta.

“Prestasi hasil negeri turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila keseluruhan hasil pada 2025 mencecah RM1.9 bilion.

“Daripada jumlah itu, RM454 juta disumbangkan melalui hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil selain pemberian Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyah, di sini.

Pada istiadat berkenaan, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri.

Keberangkatan baginda turut diiringi adinda baginda, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mu'az; Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah serta Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra’.

Menurut Ahmad Samsuri, pencapaian kutipan hasil itu menjadi asas penting kepada kerajaan negeri untuk terus meneroka sumber pendapatan baharu bagi mengukuhkan lagi keupayaan kewangan Terengganu.

Katanya, menerusi inisiatif New Income Terengganu (NIT), kerajaan negeri akan mempergiat penerokaan sumber hasil baharu selain memperkukuh penyelarasan dan pelaksanaan inisiatif berkaitan.

“Kerajaan negeri menyasarkan peningkatan kutipan hasil antara RM30 juta hingga RM50 juta setahun, dengan sasaran keseluruhan sehingga 2030 sebanyak RM510 juta.

“Anggaran hasil negeri pada tahun ini juga disasarkan mengatasi pencapaian 2025 sebanyak RM454 juta,” katanya.

Beliau berkata, usaha mempelbagaikan sumber hasil amat penting dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, selain mengurangkan kebergantungan negeri kepada rantaian industri petrokimia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha memperluas sumber pendapatan negeri tidak sekali-kali mengetepikan hak Terengganu terhadap hasil petroleum.

“Bagaimanapun, kita tidak pernah menafikan bahawa hasil petroleum adalah hak negeri yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut terus memperkukuh tadbir urus dan pengurusan kewangan menerusi amalan yang telus, berintegriti serta bertanggungjawab.

Terengganu sekali lagi diiktiraf sebagai negeri paling telus di Malaysia menerusi Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Pengiktirafan itu merupakan kali ketiga dicapai Terengganu selepas turut mencatat pencapaian sama pada 2022 dan 2024.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan