i-MiTS Sahut Cabaran Laksana 1,234 Program

Ustaz Kamaruzaman Abdullah.
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) menjadikan moto 'Menggapai Impian Bersama' untuk mencapai visi dan misinya bermula 1 Julai tahun lalu.

Pengarahnya, Ustaz Kamaruzaman Abdullah berkata, i-MiTS membawa visi menyebarluaskan dan menerapkan dasar kerajaan kepada rakyat iaitu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Katanya, i-MiTS melalui misinya berhasrat untuk menerapkan kefahaman berteraskan kesyumulan Islam terhadap jentera kerajaan dan rakyat melalui program-program pembinaan modal insan.

Ini termasuk memperkasakan jiwa jentera kerajaan dan rakyat bagi menyokong dan mendokong aspirasi kerajaan dan rakyat Terengganu.

Selain itu katanya, ia juga berhasrat merakyatkan program-program dakwah dan pembinaan modal insan di samping merancang dan melaksanakan program bina semangat, latihan kecemerlangan, seminar dan perkongsian strategik.

Di samping itu katanya, i-MiTS turut berusaha mengumpul dan menganalisa data-data berkaitan Kerajaan Terengganu seterusnya memberi respon terbaik terhadap keperluan, rungutan dan permasalahan orang ramai.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran i-MiTS di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji A Rahman Yahya, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.

Katanya, sebanyak 839 program telah dibuat oleh pihak i-MiTS di seluruh negeri Terengganu.

Ini termasuk bengkel kepimpinan, sukan, kuliah, ceramah hari kebesaran Islam, program gunting rambut, mini karnival, retreat, mesra anak yatim, program khitan perdana, pertandingan boling, CSR (Corporate Social Responsibility), program bersih pantai, sambutan hari kemerdekaan, riadah bersama Menteri Besar, program Saidatina Aisyah dan lain-lain.

Menurut beliau, jumlah semua program kerjasama yang telah dibuat adalah sebanyak 395 program. Jumlah keseluruhan program yang telah digerakkan oleh i-MiTS adalah sebanyak 1,234 membabitkan seramai hampir 172,000 orang dengan purata penglibatan orang ramai seramai 140 orang untuk satu program.

"Setelah dibuat perkiraan lengkap, pihak i-MiTS telah menyantuni seramai 6.9 peratus daripada keseluruhan rakyat negeri Terengganu yang berjumlah seramai 1.2 juta orang," jelas beliau.

Menurutnya lagi, kakitangan i-MiTS di seluruh Terengganu berjumlah seramai 418 orang termasuk 26 orang yang bertugas di Wisma Darul Iman.

Katanya, i-MiTS turut mengadakan program kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perangkaan Malaysia Terengganu, Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM), Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain.

Program penyantunan pula dibuat mengikut pecahan gerak kerja unit dalam i-MiTS termasuk Hal Ehwal Zakat, Unit Hal Ehwal Belia, Unit Hal Ehwal Beliawanis, Unit Korporat dan Tugas-tugas Khas, Unit IT dan Media Baru, Unit Mahasiswa dan lain-lain.

"Program yang diurusetiakan oleh i-MiTS sendiri termasuk Madinah Ramadhan, Kursus Pengurusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Sambutan Ambang Merdeka, Musafir Maulid dan Sambutan Awal Tahun Baru 2019.

"Selain itu i-MiTS mengatur program kolaborasi bersama dengan jabatan kerajaan (G to G). Antara jabatan terbabit termasuk Jabatan Mufti dengan mengadakan Muzakarah Perundangan Negeri Terengganu," ujarnya.

Katanya, i-MiTS turut bekerjasama dengan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dalam Sambutan Hari Arafah, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui aktiviti Road Tour Kesihatan berkait dengan penyakit berjangkit dan lain-lain.

Menurutnya, gerak kerja i-MiTS mulai 1 Julai tahun lalu sangat mencabar dan menuntut kerjasama daripada semua pihak.

"Semoga kerjasama yang terjalin dapat diteruskan di masa akan datang demi kesejahteraan dan kesenangan rakyat negeri Terengganu," ujarnya.


Tag: