Ibu Dalam Pantang Diselamatkan Dalam Banjir

Siti
Seorang ibu sempat menyelamatkan menantunya yang sedang berpantang sejak lima hari lalu, di rumahnya ke kawasan selamat selepas kediaman mereka di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu, mula dinaiki air malam tadi.

Siti Mat Zin ,58, berkata menantunya Siti Sarah Besar bersama cucunya terpaksa dipindahkan segera erikutan limpahan air dari Sungai Ping yang mendadak menenggelamkan persekitaran dan memasuki rumahnya.

"Mak cik pindah lewat malam dengan dibantu anak lelaki yang hantar ke Masjid Assyakirin ini sebab air naik laju dari tahun lepas manakala barang-barang dalam rumah dah lama simpan atas nasihat wakil rakyat kami Cikgu Rozi.

Norlin
"Cuma mak cik bersyukur sebab sempat pindahkan anak menantu mak cik yang dalam pantang bersalin lima hari ke rumahnya di Padang Tengir. Ketika itu air sudah di paras lutut," kata Siti kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pemindahan Banjir Kuala Ping.

Bagi Norlin Mohammad,34, juga berasal dari kampung Kuala Ping berkata, air yang naik tiba-tiba menyebabkan dia dan 10 ahli keluarga yang lain mula berpindah bermula jam 3 pagi.

Menurutnya, persiapan menaikkan barang-barang dalam rumah dilakukan sejak awal lagi apabila melihat keadaan hujan lebat yang turun tanpa henti dan air sungai mula naik.

Seramai 103 orang daripada 55 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di Masjid Assyakirin selepas kediaman mereka terjejas ekoran banjir melanda Telemong.


Hujan yang turun tidak berhenti sejak petang semalam menyebabkan air naik dengan cepat dan hampir 85 peratus Kampung Kuala Ping, Tengkawang dan Kampung Tok Lawit ditenggelami air banjir.

Jalan utama juga dinaiki air yang mengakibatkan tiga buah kampung itu terputus hubungan dan ditutup kepada semua kenderaan berikutan dinaiki air  sedalam 0.5 meter hingga 1.5 meter.

Tag: