Kerjasama EPIC, Brunei Hasilkan Pendapatan Tambahan Terengganu
HULU TERENGGANU, 25 Disember - Meredah air paras pinggang sejauh 200 meter ke pusat pemindahan sambil mendukung bayi yang berusia 3 bulan, itu antara detik cemas yang terpaksa diharungi seorang ibu muda apabila rumahnya dinaiki air semalam.
Fatin Noor Shahira Mohd Fadli, 26, dari Kampung Pengkalan Ajal berkata dia terpaksa meredah air banjir itu pada kira-kira 11 pagi sambil mendukung bayinya Bibi Afia Mohd Sabri.
Manakala anak sulung berusia 10 tahun memimpin adiknya berusia enam tahun meredah banjir sejauh 200 meter ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
"Melihat keadaan semakin membimbangkan, saya empat beranak nekad meredah banjir untuk ke PPS Kampung Pengkalan Ajal kerana kedudukan rumah berhampiran Sungai Berang, sememangnya berisiko untuk berlakunya limpahan air sungai secara mendadak.
"Mujur limpahan air berlaku pada waktu siang iaitu kira-kira 11 pagi semalam dan ia memudahkan saya untuk membawa tiga anak ke PPS dengan selamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui.
Tambahnya, paras air ketika itu mencecah 0.5 meter dan tidak mustahil untuk naik mendadak susulan hujan lebat yang masih tidak berhenti.
"Lebih baik pindah awal sebab jika malam air naik lagi tinggi, ia akan menyukarkan pergerakan kami sekeluarga...yang penting keselamatan anak-anak lebih diutamakan," katanya.