​​​Iftar di Rumah Asnaf Dekatkan Pemimpin Dengan Rakyat

KEMAMAN, 19 April - Aktiviti berbuka puasa di rumah rakyat mampu mendekatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat dengan masyarakat.

ADUN Air Putih, Abd Razak Ibrahim berkata, inisiatif itu juga membolehkan pihaknya mengetahui masalah penduduk di sesuatu kawasan dengan lebih cepat.

Katanya, iftar di rumah rakyat juga bertujuan menjimatkan perbelanjaan tuan rumah di samping bantuan dapat disalurkan secara terus.

“Juadah untuk majlis berbuka yang kita adakan sepanjang ramadan ini disediakan sendiri oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bukannya disediakan oleh tuan rumah.

“Menu juadah berbuka untuk keluarga puan Norbee (Othman) hari ini disediakan oleh JPKK Tok Kapor, Binjai,” katanya dalam program berkenaan baru-baru ini.

Menurut Abd Razak, pihaknya memilih keluarga keluarga Norbee, 42 kerana dia merupakan ibu tunggal yang mempunyai lima orang cahaya mata.

“Dua perempuan, tiga lelaki manakala dia hanya berniaga dengan menjual kuih untuk menyara pendapatan keluarga.

“Kami turut menyampaikan sedikit sumbangan dan buah tangan yang disediakan oleh Persatuan Isteri Wakil Rakyat Dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) buat keluarga tersebut,” jelasnya.


Tag: