KUALA NERUS, 4 April – Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 berjaya menghimpunkan para ulama dan tokoh Islam dari seluruh dunia bagi memperkukuh perpaduan umat Islam di peringkat global.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata perpaduan umat Islam menjadi tunjang utama dalam menghadapi cabaran masa kini, termasuk perpecahan, konflik ideologi, dan tekanan kuasa besar dunia terhadap negara-negara Islam.
“Perpaduan umat Islam bukan sekadar simbolik, tetapi perlu dilaksanakan melalui kefahaman ilmu yang mendalam, keadilan, dan kesepaduan antara ulama, pemimpin, dan rakyat.
“Islam Nusantara menunjukkan bahawa dakwah boleh dilaksanakan secara damai, menyatukan pelbagai kaum dan suku bangsa tanpa paksaan, berlandaskan prinsip keadilan dan hikmah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pendakwah antarabangsa Zakir Naik, Menteri Besar negeri-negeri di bawah Perikatan Nasional, serta pimpinan antarabangsa lain.
Abdul Hadi turut menekankan peranan ulama’ bertafaqquh yang memahami dan mengamalkan ilmu agama secara menyeluruh sebagai kunci keberhasilan dakwah Islam.
Menurut beliau, para ulama’ ini berjaya menyebarkan Islam di Nusantara secara damai dan membina masyarakat yang berbilang bangsa dengan toleransi dan keharmonian.
“Sejarah menunjukkan Islam menjadi kuasa besar dunia ketika umatnya bersatu dan berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah.
“Kelemahan pemimpin, kejahilan sebahagian penganut, dan perpecahan umat telah menyebabkan kejatuhan kuasa Islam pada masa silam,” ujarnya.
Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah 2026 kali ini menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu kontemporari umat Islam, memperkukuh jaringan antarabangsa antara ulama dan tokoh Islam, serta mengukuhkan konsep Islam Nusantara sebagai model dakwah damai yang boleh dijadikan teladan dunia.

Tag :