KUALA NERUS, 4 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan usaha memperkukuh perpaduan ummah mesti digerakkan secara matang dalam kerangka masyarakat majmuk, tanpa menafikan hak rakyat lain dalam sebuah negara.
Berucap sempena Majlis Pidato Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 malam ini, beliau berkata kepimpinan Islam yang hadir pada pentas program itu cukup sedar akan realiti masyarakat hari ini yang hidup dalam kepelbagaian agama, kaum, etnik, budaya dan bahasa.
Menurutnya, perjuangan memartabatkan ummah tidak boleh dibina di atas penafian terhadap hak pihak lain, sebaliknya perlu dipacu dengan semangat hidup bernegara yang aman, sejahtera dan saling menghormati.
“Tidak ada dalam kalangan kita, termasuk kepimpinan di atas pentas ini, yang ingin menafikan hak sesiapa jua sebagai rakyat dalam sebuah negara. Hak kehidupan bernegara ini adalah hak yang perlu dihormati,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, semua pihak mahu menikmati kehidupan secara harmoni tanpa mengganggu hak-hak yang dijamin dalam Perlembagaan negara yang sama-sama diterima.

Dalam ucapannya, beliau turut merumuskan empat perkara utama yang dibincangkan sepanjang sesi meja bulat ijtimak itu, iaitu soal mengurus perbezaan pandangan fiqh dan mazhab di Alam Melayu sebagai model kesatuan Islam serantau, kepimpinan Islam di ASEAN dalam mencorakkan arah baharu gerakan politik dan sahsiah umat, pembinaan ekonomi Muslim di Nusantara, serta usaha membangunkan jati diri umat dalam menghadapi cabaran dalaman dan luaran yang semakin mencabar.
Beliau berkata, perbincangan tersebut penting bagi membina kekuatan umat secara lebih tersusun, bukan sahaja dari sudut wacana agama, tetapi juga melibatkan aspek kepimpinan, ekonomi dan pembinaan identiti.
Pada masa sama, Ahmad Samsuri merakamkan penghargaan kepada semua penceramah, pembentang kertas kerja, pemidato serta tetamu jemputan dari negara-negara ASEAN dan seluruh pelosok tanah air yang hadir berkongsi pandangan dalam persidangan dan sesi perbincangan sepanjang program berlangsung.
Katanya, kehadiran pengunjung daripada pelbagai latar belakang ke program berkenaan amat dihargai kerajaan negeri, walau apa juga tujuan kehadiran mereka ke ijtimak tersebut.
Sebagai wakil tuan rumah, beliau menzahirkan harapan agar ijtimak itu bukan sekadar menjadi acara bermusim, tetapi meninggalkan bekas yang panjang dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah di rantau ini.
Tag :