Impian Sejak 37 Tahun Lalu Jadi Kenyataan
Ali bersama isterinya kelihatan gembira bersama geran hakmilik |
KEMAMAN, 17 Februari - Akhirnya impian saya menjadi kenyataan setelah menunggu hampir 37 tahun untuk menerima geran hak milik tanah di Felda Seberang Tayor hari ini," kata Ali Zakaria, 65, generasi pertama peneroka di tanah rancangan itu.
Jelasnya, segala penat lelah selama ini hilang dengan pengiktirafan yang diberikan dan kini mendapat hak milik tanah untuk diwarisi untuk anak-anaknya.
"Alhamdulillah, ia merupakan rezeki untuk anak cucu saya. Sudah terlalu lama menunggu saat ini untuk menerima hak milik setelah bertungkus lumus mengusahakan tanah rancangan sejak tahun 1982 setelah berhijrah dari Besut.
"Saya pernah terfikir sama ada saya masih sempat menerima geran tersebut apabila seorang demi seorang kawan-kawan meninggal dunia, memang saya teringin sangat untuk menerimanya sebelum menutup mata,"katanya.
Ali berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Tanah Projek Felcra Kawasan Bukit Keladi(PLBP) Sungai Pergam, Mukim Hulu Jabur, Projek Felda Seberang Tayor Peringkat 3 Mukim Tebak Dan Felcra Seri Bandi Peringkat 3 & 4 Mukim Hulu Chukai, Daerah Kemaman, di sini, hari ini.
Seramai 80 peserta menerima geran hakmilik daripada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Seri Amar, Kemaman.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negeri (DUN), Yahaya Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat,; ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan Pegawai Daerah Kemaman, Osman Bakar.
Noriah Abdul Hamid |
Sementara itu, bagi Noriah Abdul Hamid, 53, yang menetap di Felcra Seri Bandi sejak 1987, berkata dia merasa gembira dan terharu setelah bertahun-tahun, akhirnya pengorbanan mereka dihargai.
Tambah ibu kepada tujuh orang anak ini lagi, penantian selama 32 tahun berakhir pada hari ini apabila mendapat geran hak milik untuk diwarisi oleh anak-anak mereka pula nanti.