KUALA NERUS, 1 Januari - Tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat oleh kerajaan negeri merupakan salah satu daripada proses pendidikan dan kempen yang dijalankan dalam memugarkan lagi pemerkasaan syariah di Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, proses tersebut bagi menyedarkan masyarakat ke arah kehidupan mengikut syariah akan dilaksanakan secara berterusan dengan penuh kesabaran dan ketekunan.
"Dalam masa yang sama, pada keadaan yang tertentu, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan perundangan yang ada untuk melakukan penguatkuasaan sebagai 'amar makruh nahi mungkar'.
"Sebetulnya, masih terlalu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Memahami 'waqie' dan 'aulawiyyat', kerajaan negeri mengambil pendekatan secara tadaruj (berperingkat-peringkat) bermula dengan kesedaran dan pendidikan yang berterusan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Munajat Terengganu "Indahnya Hidup Bersyariat", di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Tambah Mohd Nor, memperkasakan syariat Islam di Terengganu secara khsusnya perlu berhadapan dengan cabaran fahaman liberal dan sekular yang meresap masuk dalam pemikiran umat Islam yang telah memisahkan kehidupan daripada agama.
"Agama atau ibadat hanya dilihat pada hal solat, puasa, zakat dan haji sahaja.
"Sekularisme inilah yang perlu dihakis dalam benak pemikiran umat Islam. Lebih mencabar, kita terpaksa bertempur dengan fahaman Islam Liberal yang merungkai satu demi satu tiang asas dalam agama.
"Agenda mereka untuk melemahkan akidah umat Islam dengan pelbagai propaganda dan persepsi tidak benar,"katanya.
Tegasnya, apa jua cabaran yang datang kerajaan negeri tidak akan berganjak dari usaha untuk memperkasakan syariat di negeri ini dengan mengajak pemimpin dan rakyat seluruhnya untuk tunduk dan taat kepada yang Maha Esa.
"Syarat untuk negeri kita diberkati Allah adalah dengan warganya beriman dan bertakwa,"ucap beliau.