Berita :
16,348 Ahli i-SUTRA Jadi Kayu Ukur Kejayaan Pelaksanaan Pembangunan Usahawan Terengganu
16,348 Ahli i-SUTRA Jadi Kayu Ukur Kejayaan Pelaksanaan Pembangunan Usahawan Terengganu
Adli Mohamad
17 jam yang lepas
130

KUALA TERENGGANU, 21 April — Jumlah keahlian Integrated System Sahabat Usahawan Terengganu (i-SUTRA) terus mencatat peningkatan bagi tempoh 2021 hingga 2025, dengan keseluruhan ahli kini seramai 16,348 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman, berkata perkembangan itu menjadi kayu ukur penting dalam menilai kelangsungan serta daya tahan usahawan sepanjang tempoh mereka menjalankan perniagaan.

Menurutnya, keahlian i-SUTRA menunjukkan peningkatan saban tahun, bermula dengan 10,129 ahli pada 2021, diikuti 12,182 pada 2022 dan 14,769 pada 2023.

Katanya, jumlah itu terus meningkat kepada 15,084 ahli berdaftar pada 2024 sebelum bertambah lagi kepada 16,348 orang pada tahun lalu.

“Indikator umum ialah melalui peningkatan pendaftaran usahawan aktif dalam Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) yang telah dijenamakan semula kepada i-SUTRA.

“Manakala indikator khusus adalah bergantung kepada program dan aktiviti yang dijalankan, antaranya peningkatan jualan, penyediaan peluang pekerjaan, penggunaan pendigitalan dalam perniagaan serta pembukaan cawangan baru dan penembusan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Istiadat Pembukaan Penggal) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan