Berita :
17 Usahawan Marang Terima Bantuan Sempena Hari Pekerja
17 Usahawan Marang Terima Bantuan Sempena Hari Pekerja
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
114

MARANG, 4 Mei  – Seramai 17 usahawan komuniti di Kampung Jenang menerima pelbagai bentuk bantuan dalam Program Jejak Usahawan Komuniti Daerah Marang sempena Hari Pekerja 2026.

Daripada jumlah itu, 12 usahawan menerima sumbangan bakul makanan yang mengandungi beras serta barangan keperluan dapur bagi meringankan beban kos sara hidup.

Selain itu, lima lagi usahawan turut dibantu dengan peralatan perniagaan melibatkan dua mesin uli tepung, sebuah peti sejuk beku (freezer), mesin gerudi serta dapur tiga pembakar.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, bantuan tersebut bertujuan memperkasa usahawan kecil agar terus berdaya tahan dalam mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sekadar membantu dari sudut kebajikan, sebaliknya memberi suntikan motivasi kepada usahawan untuk meningkatkan produktiviti.

“Peralatan yang disumbangkan ini diharap dapat membantu melancarkan operasi perniagaan serta meningkatkan hasil pengeluaran usahawan terlibat.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam membantu golongan usahawan mikro kerana mereka merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi setempat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Kampung Jenang, di sini.

Dalam pada itu, Ariffin berharap para penerima memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberikan bagi memastikan perniagaan mereka terus berkembang.

Katanya, program turun padang seperti itu juga penting bagi membolehkan pihak kerajaan memahami keperluan sebenar usahawan di peringkat komuniti.

“Melalui pendekatan ini, kita dapat melihat sendiri cabaran yang dihadapi dan seterusnya merangka bantuan yang lebih bersasar,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan