Berita :
2.45 Juta Pelawat Kunjung Terengganu di Suku Pertama 2026
2.45 Juta Pelawat Kunjung Terengganu di Suku Pertama 2026
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
97

KUALA TERENGGANU, 20 April – Terengganu merekodkan kira-kira 2.45 juta pelawat bagi suku pertama tahun 2026, meningkat berbanding 2.032 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, peningkatan itu menunjukkan sektor pelancongan negeri masih berada pada landasan kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Menurut beliau, kerajaan negeri mengekalkan sasaran sembilan juta pelawat bagi tahun ini, namun pendekatan promosi kini disusun semula dengan memberi tumpuan kepada pasaran ASEAN dan memperkukuh segmen pelancongan Islamik serta mesra Muslim.

“Oleh sebab itu, kita juga mengubah strategi dengan memberi tumpuan kepada negara-negara ASEAN melalui usaha promosi yang lebih agresif di rantau tersebut.

“Pada masa yang sama, kita memperkukuhkan lagi segmen pelancongan Islamik atau ‘Muslim-friendly’ patuh syariah.

“Ini kerana terdapat maklum balas dari negara-negara Asia Barat mencari destinasi pelancongan yang lebih selamat.

“Justeru, kita perlu mempromosikan Terengganu sebagai sebuah destinasi yang selamat di Malaysia, selain menonjolkan negeri ini sebagai pilihan utama bagi pelancong Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman.

Razali berkata, sektor pelancongan Terengganu terus bertumpu kepada produk utama negeri iaitu pantai, pulau dan laut yang menyumbang sekitar 70 peratus daripada tarikan pelancong.

Selain itu, katanya, Tasik Kenyir terus diperkasa sebagai destinasi ekopelancongan yang mempunyai nilai tambah tersendiri kepada industri pelancongan negeri.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata makanan tradisional Terengganu mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu.

“Makanan tradisional Terengganu dilihat mempunyai potensi besar untuk dijadikan asas kepada produk pelancongan baharu.

“Negeri ini mempunyai lebih daripada 20 jenis makanan tradisional yang popular, dan ia turut menarik minat pelancong dari Singapura, Thailand dan Indonesia yang datang semata-mata untuk menikmati hidangan tersebut,” tambahnya.

Menurut beliau, tumpuan pelancong ketika ini banyak tertumpu di Pasar Payang yang menjadi pusat jualan makanan dan produk tempatan.

Bagaimanapun, katanya, pelancong yang datang ke Terengganu juga boleh meneroka makanan tradisional di lokasi asal bagi mendapatkan pengalaman lebih autentik.

“Namun, apabila pelancong berada di Terengganu, mereka juga boleh mendapatkan pelbagai makanan tradisional di lokasi asalnya seperti nasi dagang, nasi kerabu di Atas Tol, dan Lembah Nisang Cik Na.

“Di Hulu Terengganu pula, martabak rusa semakin popular, manakala di Kemaman terkenal dengan lemang dan satar,” katanya lagi.

Beliau berkata, konsep itu menunjukkan makanan tradisional Terengganu tidak hanya tertumpu di Pasar Payang, sebaliknya boleh diterokai di lokasi asal untuk mendapatkan rasa yang lebih segar dan asli.

Sementara itu, keropok Losong kekal sebagai antara ikon makanan Terengganu yang sudah lama dikenali ramai.

Selain produk makanan, Razali berkata negeri itu turut merancang pelancaran Festival Candat Sotong yang akan berlangsung dari Mei hingga September.

Katanya, festival berkenaan bakal diisi dengan pelbagai acara termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan masakan serta sukan air di Marang dan Pulau Kekabu.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan