KUALA NERUS, 18 April - Qari Terengganu, Abdul Hadi Che Halim, menjadi antara tumpuan pada malam akhir Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2026 apabila tampil dengan persembahan bacaan yang kemas dan tersusun.
Membacakan petikan daripada Surah Hud bermula ayat 50 hingga ayat 60, Abdul Hadi memanfaatkan sepenuhnya tempoh lapan minit yang diperuntukkan dengan mengalunkan bacaan menggunakan tarannum wajib, termasuk jiharkah dan soba.

Abdul Hadi bukanlah nama asing dalam arena tilawah apabila pernah menjuarai pertandingan peringkat negeri sebanyak lima kali, sekali gus membuktikan konsistensinya sebagai antara qari terbaik Terengganu.

Dalam masa sama, beliau turut memainkan peranan aktif melahirkan pelapis baharu menerusi Akademi Al-Quran Hadi yang diasaskannya, dengan fokus kepada pembangunan qari cilik dan bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 dijadual melabuhkan tirai pada 18 April, malam ini, dengan pengumuman keputusan serta penyampaian hadiah kepada para pemenang.