KUALA TERENGGANU, 20 April - Keputusan untuk tidak menyediakan perkampungan sukan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini mungkin telah dipersetujui secara bersama, namun persoalan mula timbul apabila beban kos semakin meningkat, khususnya melibatkan subsidi penginapan atlet.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Muhammed Taufiq Johari menejelaskan bahawa keputusan tersebut bukan dibuat oleh kementerian, sebaliknya merupakan cadangan daripada tuan rumah, Selangor, yang telah dipersetujui oleh semua wakil negeri dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi SUKMA.
"Perkampungan sukan ini ia adalah idea ataupun cadangan daripada tuan rumah iaitu negeri Selangor dan cadangan ini dibawa di dalam mesyuarat jawatan kuasa tertinggi SUKMA.
"Kemudian perkara ini dibawa dalam mesyuarat, melalui proses tersebut saya memberikan ruang dan peluang kepada semua untuk bercakap dan juga memberikan pandangan.
"Jadi ini bukan keputusan daripada Kementerian Belia dan Sukan untuk meniadakan perkampungan sukan. Ia adalah keputusan yang dibuat secara bersama dan juga ini adalah idea yang dilontarkan oleh tuan rumah sendiri yang kita hanya menyelaras.
"Dan juga yang paling penting sebenarnya saya memberikan ruang dan peluang kepada semua Exco-exco pada ketika itu untuk memberikan pandangan. Dan satu kata putus telahpun dicapai, maknanya semua negeri exco-exco yang berada ketika itu semuanya bersetuju," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Fiesta Rakan Muda Terengganu 2026 di Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu, baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa isu berkaitan tambahan bajet dan dana termasuk subsidi penginapan masih boleh diteliti semula melalui perbincangan lanjut bersama pihak tuan rumah.
"Meskipun ada perbincangan berkenaan dengan tambahan bajet dan dana dan sebagainya itu Kementerian Belia dan Sukan akan sentiasa meneliti dan berbincang dengan tuan rumah iaitu Negeri Selangor tentang apakah langkah-langkah yang terbaik yang boleh kita laksanakan," ujarnya lagi.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyuarakan kebimbangan terhadap kadar subsidi penginapan sebanyak RM100 sehari yang disifatkan tidak lagi mencukupi dalam keadaan kos semasa.
Beliau berkata, peningkatan kos sara hidup termasuk harga bahan api dan barangan memberi tekanan kepada kontinjen, lebih-lebih lagi apabila ketiadaan perkampungan sukan memaksa pasukan mengurus sendiri penginapan dan logistik.
Situasi itu bukan sahaja menambah beban kewangan, malah meningkatkan cabaran operasi kepada pasukan bertanding, khususnya kontinjen luar negeri.
Menurutnya lagi, tuan rumah sebelum ini menyediakan insentif subsidi penginapan sebanyak RM100 sehari bagi setiap atlet sepanjang temasya berlangsung sebagai langkah menggantikan kemudahan perkampungan sukan.
Namun, dengan kos semasa yang semakin meningkat, timbul persoalan sama ada kadar tersebut masih relevan atau memerlukan penilaian semula demi memastikan kebajikan atlet terus terpelihara sepanjang temasya berlangsung.