Berita :
Asap Tebal Selubungi Bukit Kuang Akibat 'Kapal Hantu'
Asap Tebal Selubungi Bukit Kuang Akibat 'Kapal Hantu'
Hafiz Rosli
36 minit yang lepas
53

KEMAMAN, 31 Mei - Tiga pekerja berdepan detik cemas selepas sebuah kapal tangki yang dipercayai ‘kapal hantu’ meletup dan terbakar di Jeti Gloria Innovation, Kampung Bukit Kuang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.15 petang itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa apabila ketiga-tiga pekerja terbabit sempat menyelamatkan diri.

Menurut beliau, kebakaran itu turut menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan Jambatan Bukit Kuang dan perkampungan berhampiran ketika kejadian.

“Ketika kejadian, tiga pekerja berusia antara 39 hingga 46 tahun sedang melakukan kerja-kerja memotong besi, namun sempat menyelamatkan diri sebelum kebakaran merebak.

“Ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja tersebut, secara tiba-tiba berlaku letupan kecil yang menyebabkan kebakaran.

“Mereka bergegas turun dari kapal tersebut untuk menyelamatkan diri,” katanya seperti dilaporkan Kosmos semalam.



Mohd. Razi berkata, anggota bomba kemudiannya berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Kapal tersebut terbakar di bahagian tengah dengan anggaran kemusnahan sebanyak 45 peratus. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak bomba.

“Kapal tersebut merupakan kapal yang ditemukan hanyut berhampiran Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu pada Ogos tahun lalu,” ujarnya.

Tahun lalu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab dilaporkan berkata, kapal tanpa nama seberat 292.9 tan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden sebuah kapal tangki yang terbakar di perairan Tanjung Sedili, Johor pada 7 Ogos 2025.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan