Berita :
10,000 Dijangka Hadir Kuliah Maghrib Perdana Ustaz Azhar Idrus di Masjid Taman Ilmu
10,000 Dijangka Hadir Kuliah Maghrib Perdana Ustaz Azhar Idrus di Masjid Taman Ilmu
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
100

KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Kuliah Maghrib Perdana bersama Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus, yang dijadual berlangsung di Masjid Taman Ilmu, Tembila, Besut pada Khamis ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

Pegawai Agama Daerah Besut, Ahmad Azhar Harun @ Musa berkata, program berkenaan diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-12 Masjid Taman Ilmu.

Menurut beliau, program anjuran Pejabat Agama Daerah Besut bersama Masjid Taman Ilmu itu turut diserikan dengan beberapa pengisian lain termasuk gimik pelancaran, gerai jualan serta pameran daripada agensi-agensi berkaitan.

“Masjid Taman Ilmu dibuka pada 7 Mei 2014 dan kini genap berusia 12 tahun. Ia merupakan ikon negeri Terengganu, selain menjadi masjid terbesar di Terengganu dan kelima terbesar di Malaysia,” katanya.

Ahmad Azhar berkata, penganjuran program tersebut juga menjadi titik permulaan penting kepada Masjid Taman Ilmu untuk terus menganjurkan program berskala besar pada masa akan datang.

Katanya, usaha itu diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada pelaksanaan aktiviti mega yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya penduduk di daerah Besut.

“Program seperti ini bukan sahaja mengimarahkan masjid, malah mengukuhkan peranan masjid sebagai pusat ilmu, dakwah dan penyatuan masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai hadir bersama keluarga bagi memeriahkan sambutan tersebut serta mengambil manfaat daripada kuliah yang disampaikan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan