Berita :
Amzad Kemuka Usul Gesa PM Jelaskan Isu Pelarian Rohingya
Amzad Kemuka Usul Gesa PM Jelaskan Isu Pelarian Rohingya
Ahmad Zaeem Zainudin
7 jam yang lepas
109

KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) Dewan Rakyat bagi memohon penjelasan daripada Perdana Menteri berhubung pendirian rasmi serta pelan tindakan komprehensif kerajaan dalam menangani isu pelarian Rohingya di Malaysia.

Beliau berkata, isu berkenaan perlu dibahaskan secara terbuka kerana melibatkan kepentingan awam serta memerlukan penjelasan dasar yang lebih jelas dan menyeluruh.

"Saya telah mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) Dewan Rakyat bagi memohon penjelasan daripada YAB Perdana Menteri berhubung pendirian rasmi serta pelan tindakan komprehensif Kerajaan dalam menangani isu pelarian Rohingya di Malaysia.

"Sebelum ini, saya telah mengemukakan perkara yang sama sebanyak dua kali melalui sesi Minister’s Question Time (MQT). 

"Namun, soalan tersebut tidak terpilih untuk dijawab di Dewan," katanya menerusi hantaran dalam media sosialnya, sebentar tadi.

Dalam usul yang dikemukakan, beliau meminta kerajaan memperincikan pendirian serta strategi pengurusan pelarian Rohingya susulan pengumuman kerjasama Malaysia-Bangladesh melalui ASEAN, termasuk aspek kawalan kemasukan, penguatkuasaan undang-undang, keselamatan negara dan pelan penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang.

"Pengurusan isu pelarian bukan sahaja berkait dengan tanggungjawab kemanusiaan, malah turut melibatkan aspek keselamatan negara, penguatkuasaan undang-undang, pengurusan kemasukan, tekanan terhadap kemudahan awam serta implikasi sosial dan ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat," tambahnya.

Ahmad Amzad menegaskan meskipun Malaysia sememangnya menjunjung nilai kemanusiaan, kedaulatan undang-undang, keselamatan rakyat dan ketenteraman awam perlu terus menjadi keutamaan dalam setiap dasar dan tindakan kerajaan.

Dalam usul tersebut, beliau menyifatkan perkara itu sebagai isu tertentu kerana melibatkan dasar dan tindakan rasmi kerajaan dalam mengurus warga Rohingya termasuk status mereka di dalam negara, akses kepada perkhidmatan awam serta implikasi sosial dan ekonomi akibat ketiadaan penyelesaian jangka panjang yang jelas.

Tegasnya lagi, usul itu perlu disegerakan memandangkan jumlah warga Rohingya dalam negara terus meningkat dan pelbagai isu berkaitan keselamatan, ketenteraman awam serta tekanan terhadap sumber negara semakin mendapat perhatian rakyat.

"Kegagalan Kerajaan menjelaskan pendirian dan pelan tindakan yang komprehensif akan terus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Kerajaan mengurus isu migrasi dan pelarian secara berkesan," menurut kandungan usul tersebut.

Menurutnya, usul itu juga melibatkan kepentingan awam kerana memberi kesan langsung kepada kedaulatan negara, keharmonian sosial dan kebajikan rakyat Malaysia yang berhak mendapat jaminan bahawa kepentingan tempatan sentiasa diutamakan.

"Semoga usul ini dapat diberikan pertimbangan sewajarnya untuk dibahaskan demi kepentingan rakyat dan masa depan Malaysia," katanya.


Ketupat

Artikel Berkaitan