Berita :
MBKT Sita Tiga Kedai Runcit Tanpa Lesen, Peniaga Warga Bangladesh
MBKT Sita Tiga Kedai Runcit Tanpa Lesen, Peniaga Warga Bangladesh
Rohayati Ripin
14 jam yang lepas
170

KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyita tiga premis perniagaan milik warga Bangladesh yang didapati beroperasi tanpa lesen dalam Operasi Bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu, hari ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, operasi bermula kira-kira jam 11 pagi itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang pelesenan dan membanteras aktiviti perniagaan yang dijalankan secara tidak sah.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati tiga kedai runcit beroperasi tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa tempatan.

“Tindakan penyitaan telah diambil kerana premis-premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBKT) 2013.

“Kuasa penyitaan pula dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil 38, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBKT) 2013,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tiga premis yang disita ialah Syafiqah Maju Enterprise (TR 0111148-D), Cahaya Tanjung Enterprise (MA 0165192-M) dan RR Damai Jaya Trading (TR 0268799-W).

Katanya, semua peralatan dan barangan jualan yang dirampas telah dibawa ke Stor Rampasan Bahagian Penguatkuasaan dan Perkhidmatan Letak Kereta MBKT di Chendering untuk tindakan lanjut.

“Operasi berakhir kira-kira jam 1.30 petang dan berjalan lancar dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau menegaskan MBKT terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan di kawasan pentadbirannya mematuhi syarat pelesenan  ditetapkan dan tidak menjejaskan kepentingan peniaga yang beroperasi secara sah.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan