Berita :
Bepang Pulut Warisan, Bertahan Sejak Tahun 70-an
Bepang Pulut Warisan, Bertahan Sejak Tahun 70-an
Noraini Jusoh
15 jam yang lepas
186

Oleh: Fatimah Din

MARANG, 10 Mei – Di sebalik arus pemodenan dan lambakan makanan moden hari ini, makanan tradisional Terengganu, Bepang Pulut masih kekal mendapat tempat di hati masyarakat apabila perniagaan warisan itu terus bertahan sejak tahun 70-an lagi.

Pengusahanya, Minah Osman, 73, berkata, pada awalnya ia diusahakan neneknya sebelum diwariskan kepada generasi seterusnya sehingga kini.

“Resepi ini memang turun-temurun daripada keluarga kami. Alhamdulillah sampai sekarang masih ada permintaan dan mampu bertahan,” 

"Perusahaan ini bukan sahaja menjadi sumber rezeki keluarga, malah menjadi simbol ketahanan makanan tradisi negeri ini yang diwarisi sehingga empat generasi," katanya ketika ditemui di ZQ Bepang Pulut yang terletak di Kampung Surau Panjang, Bukit Payong di sini, baru-baru ini. 

Suaminya, Zakaria Ariffin, 70, berkata perusahaan tersebut kini telah berusia lebih 56 tahun dan masih menggunakan resepi asal keluarga yang menjadi identiti utama Bepang Pulut mereka.

“Dulu kami buat secara tradisional guna alat penumbuk untuk tumbuk beras. Masa itu tak banyak dapat dihasilkan sebab kerja berat dan perlukan tenaga,” ujarnya.

Menurutnya, perkembangan teknologi sedikit sebanyak membantu meningkatkan pengeluaran apabila mereka menerima bantuan mesin daripada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

“Alhamdulillah sekarang ada mesin, jadi lebih mudah dan cepat. Sehari kami boleh hasilkan sehingga 1,000 keping bepang pulut. Satu besen beras pula boleh buat kira-kira 15 sarang bepang,” ujarnya.

Zakaria turut berkongsi perjalanan perniagaan mereka yang bermula kecil-kecilan dengan bayaran pekerja sekitar RM8 sehari, namun kini mampu menawarkan sehingga RM60 sehari kepada pekerja kampung.

Katanya, walaupun perniagaan semakin berkembang, mereka tetap berdepan beberapa cabaran termasuk masalah bekalan minyak masak dan faktor cuaca.

“Dalam sehari hampir 20 kilogram minyak digunakan. Kadang-kadang stok minyak susah dapat, jadi terpaksa cari merata-rata. Selain itu, bila musim hujan, proses pembuatan juga terganggu,” katanya lagi.

Keunikan rasa asli dan kaedah pembuatan yang masih mengekalkan identiti tradisional menjadikan Bepang Pulut keluaran mereka terus mendapat sambutan pelanggan dari dalam dan luar Terengganu.

Perusahaan warisan itu diharap terus berkembang agar generasi muda dapat mengenali makanan tradisional negeri ini, selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung dan memastikan warisan turun-temurun tidak lenyap ditelan zaman.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan