lightning-solid
Berita :
400 Peserta e-Kasih Terima Sumbangan Projek Penternakan Terengganu
400 Peserta e-Kasih Terima Sumbangan Projek Penternakan Terengganu
Mohd Irsyadi Abu Bakar
09 Jul 26
9

KEMAMAN, 9 Julai- Seramai 400 rakyat Terengganu dari kalangan penerima e-Kasih menerima sumbangan hasil projek penternakan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Negeri Terengganu, semalam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato' Dr Azman Ibrahim, seramai 50 penerima dari setiap daerah itu akan menerima agihan bantuan berjumlah RM250 seorang dalam majlis yang dijalankan secara serentak di semua daerah.

"Setiap tahun, jumlah reban yang beroperasi semakin bertambahlah. Sekarang ini untuk reban ayam kita ada di Besut (Baroh Masin), di Setiu (Bukit Lawang dan Telaga Papan) dan di Kuala Nerus iaitu di Bukit Nenasi dalm bentuk reban tertutup.

"Hasil bayaran sewa reban yang dikutip oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)Negeri Terengganu kita agihkan hari ini dengan jumlah keseluruhan RM100 ribu," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis berkenaan di Kampung Air Putih, semalam.

Tambahnya, selain reban ayam antara projek yang diusahakan ialah projek penternakan lembu pedaging yang diusahakan di Ladang Rakyat Terengganu.

Jelas Azman, usaha itu boleh dianggap sebagai khidmat Tanggungjawab sosial korporat(CSR) JPV Terengganu kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Pengarah JPV Terengganu, Dr Anun Man memaklumkan, program yang digerakkan sejak tahun 2007 itu pernah terhenti disebabkan pelbagai faktor seperti masalah konsistensi pengusaha terlibat dan pandemik COVID-19.

"Kini, kita telah berjaya memberikan sumbangan selama enam tahun berturut-turut," katanya. 


Tag :

Artikel Berkaitan