Jalur Gemilang
Berita :
Pelajar UniSZA Juara Tilawah Kuala Nerus
Pelajar UniSZA Juara Tilawah Kuala Nerus
Arifuddin Alias
3 jam yang lepas
28

KUALA NERUS, 29 September – Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Muhammad Farhan Zul Akmal, 22 dinobat johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kuala Nerus 1448H/2026M.

Muhammad Farhan berkata, beliau amat bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana menjuarai pertandingan tilawah berkenaan.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberikan izin untuk saya mendapat johan dalam tilawah ini. Saya juga berasa sangat gembira kerana kemenangan ini adalah hasil daripada usaha, doa ibu bapa serta sokongan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuala Nerus di Masjid Al Abrar Bukit Tok Beng, Kuala Nerus.

Menurutnya, persiapan menghadapi pertandingan turut dilakukan dengan memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki dan memantapkan bacaan al-Quran, selain meningkatkan keyakinan sebelum tampil di hadapan juri.

“Saingan malam ini memang hebat, semuanya bagus dan saya sendiri tidak menyangka akan mendapat kemenangan. Apa yang penting, saya cuba memberikan yang terbaik dan meneruskan bacaan dengan sempurna sehingga selesai,” katanya.

Beliau berkata, persiapan yang dilakukan bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, sebaliknya menjadi ruang untuk beliau terus memperbaiki mutu bacaan dan meningkatkan penghayatan terhadap al-Quran.

“Dalam masa yang sama, saya berharap kejayaan ini dapat menjadi satu usaha kecil untuk mengangkat nama dan institusi UniSZA, serta membuktikan bahawa mahasiswa UniSZA juga mampu menyerlah dalam bidang al-Quran,” ujarnya.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kuala Nerus 1448H/2026M menghimpunkan para peserta yang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dalam suasana penuh penghayatan dan semangat kecintaan terhadap kalam Allah S.W.T.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan