Berita :
5 Bulan ‘Pecut’, Putera Nurhazziq Raih 10A Mumtaz STAM
5 Bulan ‘Pecut’, Putera Nurhazziq Raih 10A Mumtaz STAM
Muhamad Fazlee Aziz
1 hari yang lepas
25

Oleh : Nurul Natasha Surin

KUALA NERUS, 7 Mei - Dalam tempoh persediaan singkat hanya lima bulan, seorang pelajar Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman membuktikan keupayaan luar biasa apabila berjaya meraih keputusan cemerlang 10A Mumtaz (Mumtaz Sofi) dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Putera Nurhazziq Zawawi, 25, berkata, kejayaan tersebut hadir hasil disiplin tinggi dan rutin pembelajaran intensif, termasuk amalan bangun seawal jam 4 pagi bagi memastikan masa ulangkaji dimanfaatkan sepenuhnya.

“Saya memang masuk lambat, jadi saya memang pecut dari awal. Bangun pukul 4 pagi tu dah jadi biasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2025 peringkat DUN Tepuh, hari ini.

Menurutnya, antara langkah penting yang diambil ialah menghapuskan gangguan digital dengan memadam aplikasi media sosial seperti TikTok dan Instagram bagi mengekalkan fokus pembelajaran.

“Saya tahu saya tak kuat nak lawan gangguan, jadi saya uninstall TikTok dan Instagram. WhatsApp dan Telegram sahaja saya kekalkan sebab perlu untuk belajar,” jelasnya.

Mengulas cabaran sepanjang tempoh persediaan, beliau mengakui ujian terbesar ialah mengawal diri daripada pengaruh suasana rakan sebaya yang lebih santai menjelang peperiksaan, namun tetap kekal berpegang kepada matlamat asal.

“Saya kena cipta kesedaran sendiri sebab saya tahu apa yang saya nak walaupun kadang rasa sunyi sebab tak ikut aktiviti kawan-kawan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim, berkata, penganjuran majlis tersebut bukan hanya memberi penghargaan kepada pelajar cemerlang semata-mata, sebaliknya turut meraikan semua lapisan pencapaian pelajar.

“Dalam majlis ini, kita bukan hanya meraikan pelajar 6A ke atas sahaja, tetapi pelajar yang mendapat 1A sahaja pun turut kita rai,” katanya.

Putera yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir turut menyimpan impian untuk menjadi tenaga pengajar, selain menasihatkan pelajar lain agar terus berusaha dan menyerahkan keputusan kepada ketentuan Allah SWT.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan