Jalur Gemilang
Berita :
500 Penduduk Bimbang Ancaman Beruang Matahari
500 Penduduk Bimbang Ancaman Beruang Matahari
Muhammad Amiruddin Zamri
16 jam yang lepas
110

DUNGUN, 20 September – Kira-kira 500 penduduk di Taman Selesa dan Taman Mulia, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, hidup dalam kebimbangan selepas seekor beruang matahari dipercayai berkeliaran di kawasan perumahan dan kebun penduduk sejak kira-kira seminggu lalu.

Kehadiran haiwan liar itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk, malah menyebabkan pekebun terpaksa menanggung kerugian selepas tanaman mereka dipercayai mengalami kerosakan akibat dimasuki beruang berkenaan.

Beruang matahari itu dipercayai datang dari kawasan hutan berhampiran dan sering dilihat berkeliaran di kawasan terbuka, khususnya pada waktu petang, selain memasuki kebun penduduk untuk mencari makanan.

Keadaan itu menyebabkan penduduk kini lebih berwaspada, terutama ketika berada di kawasan kebun dan persekitaran rumah.

Salah seorang penduduk, Zakaria Deraman berkata, beliau bimbang sekiranya haiwan berkenaan bertindak menyerang penduduk, terutama kerana ia turut dilihat di kawasan laluan orang ramai.

“Bimbang, takut dia menyerang kita. Itulah kebimbangannya. Biasanya malam-malam, kawasan perumahan dan laluan orang ramai pun ada. Lepas-lepas sembahyang Isyak, pernah ada yang jumpa di tepi jalan,” katanya.

Sementara itu, Azwadi Mohammad berkata kehadiran beruang berkenaan boleh menimbulkan masalah sekiranya haiwan itu terus memasuki kawasan kampung bagi mencari makanan.

“Kita takut bila dia masuk lagi, dia pergi kawasan-kawasan kampung, dia cari makanan yang berhampiran dengan orang kampung. Kalau begitu, bermasalah dan akan jadi isu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rosli Adam, berkata keselamatan kanak-kanak turut menjadi kebimbangan kerana mereka mungkin tidak menyedari risiko sekiranya terserempak dengan haiwan liar terbabit.

“Kanak-kanak macam biasa, mereka tidak tahu risiko. Binatang ini masuk dalam semak, mereka bermain di luar jalan. Kalau-kalau binatang ini terlepas keluar, itu yang kita bimbangkan,” katanya.

Susulan kejadian itu, penduduk berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi menangani kehadiran beruang matahari berkenaan demi menjamin keselamatan penduduk.

Pihak Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga dijangka membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Dungun bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Penduduk turut dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau cuba menangkap haiwan berkenaan sekiranya terserempak, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan diambil dengan selamat


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan