lightning-solid
Berita :
ADUN Kawasan Jadi Rujukan Utama Urusan Tanah
ADUN Kawasan Jadi Rujukan Utama Urusan Tanah
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
64

Oleh : Mohd Hilmi

BESUT, 25 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan menjadi pihak berautoriti dalam menentukan kelulusan atau penolakan berkaitan urusan tanah di kawasan masing-masing di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara tersebut diperhalusi melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Daerah yang bersidang setiap bulan di tujuh pejabat daerah seluruh negeri.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan mempunyai peranan penting dalam menentukan dasar dan tindakan berkaitan tanah termasuk permohonan hak milik persendirian dan berkelompok, Lesen Pendudukan Sementara (TOL), lesen operasi melombong, urusan rampasan serta perobohan struktur di atas tanah awam.

“Autoriti berkenaan dengan tanah dalam DUN masing-masing hanya boleh dilulus atau ditolak oleh ADUN berkenaan sahaja,” jelasnya dalam satu program.

Tambahnya, berbeza dengan mesyuarat jawatankuasa kerja tindakan daerah, kehadiran dalam mesyuarat berkaitan urusan tanah tidak boleh diwakilkan kepada pegawai atau pembantu dan perlu dihadiri sendiri oleh ADUN atau Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) supaya mendapatkan penjelasan secara terus daripada ADUN kawasan atau Pusat Khidmat Masyarakat sekiranya terdapat aktiviti berkaitan tanah yang tidak diketahui atau menimbulkan persoalan.

“Saya mengesyorkan kepada mana-mana orang, pihak ataupun JPKK yang melihat ada aktiviti yang tidak diketahui berlaku di tanah-tanah dalam DUN Hulu Besut supaya bertanya secara terus sama ada kepada ADUN Hulu Besut ataupun Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Besut,” katanya.

Penjelasan tersebut dibuat susulan persoalan yang dibangkitkan seorang rakyat tempatan berhubung kebimbangan terhadap aktiviti kerja tanah dan penarahan kawasan yang didakwa berlaku tanpa pengetahuan penduduk setempat.



Tag :

Artikel Berkaitan