SETIU, 25 Ogos – Kemudahan ibadah bagi penduduk tempatan bakal bertambah selesa apabila Masjid Baru Kg Apal dijadualkan membuka pintunya untuk kegunaan awam pada 10 September ini.
Majlis pembukaan tersebut bakal memberi kemudahan yang lebih baik kepada komuniti untuk menunaikan solat berjemaah serta menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Dewan solat utama Masjid Baru ini mampu menampung kapasiti sehingga 500 orang jemaah pada satu-satu masa.
Selain dewan solat, masjid berkenaan turut dilengkapi dengan dataran baharu di bahagian hadapan kawasan masjid.

Pembangunan dataran baru tersebut merupakan hasil usaha susulan perbincangan bersama pihak Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT) bersama Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, semasa kunjungan hormat pada Jun yang lalu.
Shaharizukirnain ketika ditemui telah menzahirkan kesyukuran yang tak terhingga setelah sekian lama menanti masjid ini mampu beroperasi untuk komuniti disini.
"Alhamdulillah, sedikit demi sedikit kita usaha supaya kemudahan di masjid ini semakin baik dan selesa untuk masyarakat.
" Semoga Masjid baru Kg Apal ini nanti menjadi tempat yang hidup dengan solat berjemaah, majlis ilmu dan pelbagai aktiviti untuk masyarakat setempat," ujar beliau.