Jalur Gemilang
Berita :
ADUN Terengganu Puji Pembaharuan MAIDAM
ADUN Terengganu Puji Pembaharuan MAIDAM
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
190

KUALA TERENGGANU, 18 November – Langkah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) meningkatkan kadar wakalah zakat daripada 25 kepada 50 peratus mendapat pujian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed.

Ahmad Shah berkata, langkah berkenaan dijangka merancakkan lagi peranan institusi zakat dalam membantu golongan asnaf.

Menurutnya, kadar wakalah itu melibatkan pembayaran zakat sekurang-kurangnya RM30,000 setahun.

“Dasar wakalah zakat membenarkan pembayar, sama ada individu atau syarikat dan organisasi, mengambil kembali sebahagian daripada wang zakat yang dibayar untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang layak mengikut ketetapan MAIDAM,” katanya.

Beliau berkata, perubahan itu antara usaha penambahbaikan polisi dan pendekatan MAIDAM demi kemaslahatan ummah serta kesejahteraan asnaf di negeri ini.

Selain itu, katanya, MAIDAM turut memansuhkan syarat had pendapatan keluarga tidak melebihi RM20,000 sebulan bagi mendapatkan bantuan zakat sektor pendidikan di bawah asnaf fisabilillah.

Menurutnya, bantuan berkenaan melibatkan mana-mana semester pengajian dalam tempoh setahun dengan pencapaian gred sekurang-kurangnya 3.50.

“Permohonan bantuan zakat MAIDAM dijalankan sepenuhnya secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat MAIDAM untuk menghantar borang dan dokumen,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Shah berkata, MAIDAM turut melaksanakan kerjasama strategik wakaf tunai bersama masjid-masjid di seluruh Terengganu menggunakan kod QR dan Virtual Account (VA), hasil kerjasama dengan Affin Islamic Bank.

Katanya, pengumpulan dana wakaf tunai itu akan membolehkan pertambahan aset kekal, manakala hasil yang dijana menerusi aset berkenaan akan disalurkan kepada sektor kesihatan, pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata, MAIDAM juga membangunkan tanah wakaf pendidikan menerusi projek komersial melibatkan pembinaan chalet di Kampung Seberang Tuan Chik, bersebelahan Jambatan Sultan Mahmud.

Menurutnya, projek berkenaan dijangka siap pada Mac 2027.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Dato’ Nara Setia atas pelantikan sebagai Yang Dipertua MAIDAM yang baharu berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Katanya, di bawah kepimpinan beliau serta komitmen berterusan pengurusan yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, MAIDAM terus memperkukuh usaha penambahbaikan demi kepentingan ummah.

“Usaha murni ini juga mencerminkan kerjasama erat antara MAIDAM dan kerajaan negeri dalam memperkasakan institusi agama di Terengganu.

“Semoga amanah besar ini dapat dilaksanakan dengan penuh hikmah dan keberkatan,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan