KUALA TERENGGANU, 18 November– Kerajaan Terengganu akan terus memperketat tapisan terhadap setiap permohonan penganjuran program hiburan di negeri ini bagi membendung budaya hedonisme yang boleh menjejaskan akhlak masyarakat serta bercanggah dengan prinsip Maqasid Syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pendirian itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap penganjuran acara tidak mengetepikan tuntutan agama, khususnya dalam memelihara agama, akal dan keturunan.
Menurutnya, budaya hedonisme yang menjadikan keseronokan dan kepuasan nafsu sebagai matlamat utama kehidupan perlu dibendung kerana hiburan melampau, pergaulan bebas tanpa batas serta aktiviti bercanggah dengan nilai Islam berpotensi membuka ruang kepada gejala sosial yang lebih besar.
“Berdasarkan prinsip sadd al-zari’ah, iaitu menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada kerosakan, kerajaan negeri memilih pendekatan mencegah sebelum sesuatu perkara merebak dan mencemarkan identiti Terengganu sebagai negeri Darul Iman,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (BAJET), di sini, hari ini.
Menurutnya, ketegasan kerajaan negeri turut diterjemahkan melalui penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 yang memperuntukkan tindakan undang-undang terhadap pemegang lesen yang melanggar syarat ditetapkan.
Katanya, subseksyen 11(2) enakmen berkenaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Antara tindakan yang telah diambil termasuk kompaun oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu terhadap penganjur sebuah program hiburan pada Mei 2026 susulan aksi keterlaluan yang tular.
“Pada Februari lalu, konsert nyanyian di Dataran Shahbandar juga tidak dibenarkan sebagai menghormati kedatangan Ramadan, selain waktu operasi pusat karaoke di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diselaraskan dari jam 10 pagi hingga 10 malam,” katanya.
Tambah beliau, permohonan melanjutkan operasi pusat karaoke sehingga jam 1 pagi turut ditolak, manakala aktiviti hiburan jalanan atau busking tidak dibenarkan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.
Mengulas pendekatan kerajaan negeri selepas ini, Dr. Muhammad Khalil berkata, setiap permohonan penganjuran acara akan diteliti oleh PBT berdasarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Katanya, tapisan tersebut merangkumi penetapan syarat kelulusan yang jelas serta pemantauan ketika acara berlangsung bagi memastikan penganjur mematuhi ketetapan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak menolak hiburan secara mutlak, sebaliknya mahu memastikan aktiviti berkenaan berlangsung secara sihat, kreatif dan beradab tanpa bercanggah dengan nilai agama serta budaya masyarakat.
“Islam tidak mengharamkan hiburan, tetapi meletakkan batas supaya ia tidak melalaikan dan membawa kerosakan. Kita mahu menggalakkan penganjuran acara yang mampu menghiburkan rakyat serta menarik pelancong, khususnya sempena Tahun Melawat Terengganu 2027, tanpa mengorbankan nilai agama dan budaya masyarakat Terengganu,” katanya.