Jalur Gemilang
Berita :
Polemik Peruntukan Ahli Parlimen Tuntut Reformasi Perundangan Segera
Polemik Peruntukan Ahli Parlimen Tuntut Reformasi Perundangan Segera
Husaif Mamat
3 jam yang lepas
72

Oleh: Muhammad Abdul Hadi bin Mohd Radzi, penyelidik Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS)

Adakah hak rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan wakil rakyat bergantung pada warna bendera parti yang mereka pilih? Persoalan ini kembali hangat dalam sidang Belanjawan 2027 apabila isu peruntukan pembangunan kawasan (CDF) terus dibangkitkan di Parlimen.

Gesaan agar kerajaan menyalurkan peruntukan sama rata bukan sahaja datang daripada blok pembangkang seperti YB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar (Kemaman) dan YB Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh (Besut), malah turut disokong Ahli Parlimen kerajaan sendiri termasuk YB Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy (Kota Belud), YB Tuan Hassan bin Abdul Karim (Pasir Gudang) dan YB Tuan Gobind Singh Deo (Damansara) yang juga merangkap Menteri Kabinet.

Polemik ini semakin ketara apabila pemberian peruntukan terus dikaitkan dengan rundingan dan perjanjian politik. Baru-baru ini, Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) telah dimeterai oleh enam Ahli Parlimen Bersatu untuk memperoleh peruntukan sebagai balasan menyokong Belanjawan 2027 dan pentadbiran Perdana Menteri.

Sungguhpun kerajaan mempertahankan pendekatan ini dengan menyenaraikan projek persekutuan di kawasan pembangkang atau menawarkan pemeteraian MoU, kedua-duanya tidak menyelesaikan persoalan asas mengenai keperluan peruntukan pembangunan kawasan kepada Ahli Parlimen.

Kenapa Ahli Parlimen Perlukan CDF?

Bagi memahami keperluan pemberian CDF secara sama rata kepada Ahli Parlimen, perbezaan antara projek kerajaan di kawasan Parlimen dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen itu sendiri mestilah dijelaskan.

Projek pembangunan kerajaan dilaksanakan melalui perancangan kementerian dan agensi bagi memenuhi keperluan pembangunan yang lebih besar, manakala CDF membolehkan Ahli Parlimen menangani keperluan setempat yang lebih kecil dan mendesak. Peruntukan kepada Ahli Parlimen bukanlah bertujuan menggantikan projek atau program pembangunan kerajaan tetapi sebagai pelengkap untuk mengisi jurang yang ditinggalkan dalam perancangan kerajaan yang lebih besar.

Ahli Parlimen adalah lebih dekat dengan rakyat di kawasan mereka berbanding mana-mana kementerian di Putrajaya. Mereka sentiasa menjadi tumpuan penduduk untuk meminta bantuan dalam perkara-perkara kecil seperti bantuan persekolahan, sumbangan PIBG dan pembaikan kecil infrastruktur.

Permasalahan sebegini sepatutnya mampu diselesaikan segera tanpa proses birokrasi yang terlalu rumit sekiranya Ahli Parlimen dibekalkan CDF dan tanggungjawab mentadbirnya sendiri.

Justeru, kewujudan projek pembangunan persekutuan di sesuatu kawasan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan keperluan CDF kepada Ahli Parlimen.

Masalah Sistemik Kuasa Budi Bicara

Walaupun Malaysia mengamalkan sistem federalisme sejak merdeka, sistem federalisme negara ini dianggap sebagai antara yang paling berpusat di dunia kerana pengaruh kuasa budi bicara kerajaan yang terlalu luas.

Begitu juga dalam isu pemberian CDF, kebergantungan kepada budi bicara kerajaan menjadi persoalan apabila Ahli Parlimen pembangkang masih perlu berunding untuk mendapatkan peruntukan, sedangkan mandat yang diberikan rakyat melalui proses demokrasi sepatutnya sudah memadai untuk membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat tanpa perlu memenuhi syarat sokongan politik.

Lebih membimbangkan, Ahli Parlimen kerajaan sendiri turut terkesan apabila kerajaan menyekat peruntukan mereka atas faktor perselisihan dalaman sebagaimana dialami YB Tuan Wong Chen (Subang), YB Tuan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan YB Puan Hajah Rodziah binti Ismail (Ampang). Dalam satu kenyataan bersama, langkah tersebut disifatkan sebagai penyalahgunaan kuasa dan “mengaburkan sempadan antara parti dengan kerajaan dan antara demokrasi dengan autokrasi.”

Keadaan ini menampakkan penggunaan kuasa budi bicara sebegini menjejaskan peranan pembangkang sebagai kuasa semak dan imbang yang berkesan di Parlimen.

Reformasi Dasar Sebagai Ganti Budi Bicara

Kebergantungan kepada kuasa budi bicara inilah yang menyebabkan penyelesaian melalui MoU atau CSA tidak dapat menjamin pengagihan peruntukan secara konsisten kepada semua Ahli Parlimen. Pemeteraian MoU sebagai syarat mendapatkan peruntukan bukanlah perkara baharu. Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim juga mempertahankannya dengan menyebut contoh duluan yang dibuat ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Namun, penggunaan pendekatan yang sama oleh pentadbiran berbeza menunjukkan bahawa isu ini tidak boleh terus diselesaikan melalui perjanjian politik semata-mata. Kedudukan sesebuah parti sebagai kerajaan atau pembangkang boleh berubah, tetapi keperluan rakyat terhadap perkhidmatan wakil mereka tetap berterusan. Oleh itu, parti-parti politik seharusnya beriltizam melakukan pembaharuan ketika berkuasa bagi menoktahkan tekanan yang sering dihadapi apabila menjadi pembangkang.

Langkah menginstitusikan pemberian CDF ke dalam sistem demokrasi berparlimen negara adalah antara pembaharuan tersebut. Berbeza dengan MoU yang bersifat sementara dan tidak menentu, penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan Parlimen akan menyediakan kerangka perundangan yang mengikat komitmen kerajaan mengagihkan peruntukan secara telus dan adil kepada wakil rakyat merentasi sempadan kepartian.

Walaupun pemberian CDF secara adil menyasarkan penyampaian perkhidmatan yang lebih cepat dan responsif oleh Ahli Parlimen, ia bukanlah bermakna mereka patut diberikan kuasa tunggal untuk mentadbirnya seterusnya membuka ruang kepada amalan rasuah atau isu tatakelola.

Sementara Ahli Parlimen diberikan peranan kepimpinan dan pemantauan dalam pentadbiran CDF, undang-undang CDF mestilah turut memasukkan aspek tadbir urus yang baik agar ia tidak disalah guna.

Commonwealth Parliamentary Association (CPA) mengesyorkan agar tadbir urus CDF merangkumi aspek keupayaan respons, ketelusan, pentadbiran dan pengurusan, kebertanggungjawaban dan pengawasan, serta pemantauan dan penilaian.

Penggubalan akta CDF yang mengambil kira aspek-aspek tadbir urus ini akan mencegah peruntukan tersebut daripada menjadi slush fund atau dana lecah untuk digunakan sesuka hati oleh Ahli Parlimen.

Kesimpulannya, pergantungan berterusan pada kuasa budi bicara dan perjanjian seperti CSA bukanlah jalan yang mampan untuk menyelesaikan isu peruntukan Ahli Parlimen. Sudah tiba masanya Malaysia melaksanakan reformasi melalui penggubalan undang-undang CDF sebagai jaminan statutori pengagihan yang adil.

Langkah kehadapan ini bukan sahaja akan memperkasakan fungsi semak imbang Parlimen dan menoktahkan amalan diskriminasi politik, malah memastikan kebajikan rakyat di setiap kawasan dapat disalurkan secara cekap, berintegriti dan bebas daripada belenggu kepentingan parti.

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan