lightning-solid
Berita :
Aktiviti Mandi-Manda Bertukar Tragedi di Pantai Batu Buruk
Aktiviti Mandi-Manda Bertukar Tragedi di Pantai Batu Buruk
Ahmad Zaeem Zainudin
18 jam yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Kegembiraan empat pelajar sebuah universiti antarabangsa bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dipercayai lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu Buruk, tengah hari tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman, satu panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

WhatsApp Image 2026-02-16 at 4.53.00 PM.jpeg 99.34 KB
"Kejadian ini melibatkan empat orang pelajar, daripada universiti antarabangsa cawangan Nilai, yang telah datang ke Pantai Batu Buruk dan melakukan aktiviti mandi-manda di kawasan pantai Batu Buruk," katanya.

Mangsa, Sithu Moe Lwin, 18, merupakan salah seorang daripada empat pelajar yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan, dimana tiga daripadanya warganegara asing dan seorang warganegara tempatan.

"Semasa aktiviti mandi-manda tersebut, didapati seorang mangsa telah lemas. Dipercayai warganegara Myanmar berumur 18 tahun," jelasnya kepada pemberita ketika ditemui lokasi kejadian.

Dalam kejadian sama, seorang lagi mangsa yang turut lemas berjaya diselamatkan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan penyelamat di lokasi.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat itu tadi telah melibatkan seramai 25 anggota dengan bantuan Unit Selam dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu serta Kuala Berang.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, keadaan laut yang bergelora pada ketika ini menyebabkan kesukaran untuk usaha selaman pencarian dilakukan.

"Operasi pencarian pada masa ini kita mengambil tindakan operasi dengan mengadakan teknik 'surface searching'. Di mana kalau kita tengok keadaan laut amat bergelora.

"Buat masa ini kita masih lagi tidak dapat melaksanakan teknik selaman kerana ombak kuat dan bergelora. Arus juga dipercayai di dasar laut, di dasar pantai ini terlalu kuat," ulasnya terhadap situasi semasa pencarian.

Setakat laporan ini ditulis, mangsa masih belum ditemui dan operasi diteruskan dengan bantuan beberapa agensi penyelamat termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.


Artikel Berkaitan