KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Kegembiraan jelas terpancar pada wajah anak-anak yatim dan asnaf apabila diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Primula Beach Hotel yang berlangsung meriah di hotel itu, baru-baru ini.
Majlis yang turut disertai Pasukan Hoki SUKMA Terengganu 2026 serta pelajar tahfiz itu menjadi medan mengeratkan silaturrahim sambil berkongsi keberkatan Ramadan bersama golongan yang memerlukan.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Primula Beach Hotel yang saban tahun dilaksanakan bagi menyantuni komuniti setempat di samping berkongsi keberkatan Ramadan bersama golongan yang memerlukan.
Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun, berkata program berkenaan bukan sekadar majlis berbuka puasa, sebaliknya menjadi platform untuk warga kerja mendekati masyarakat serta menyemai semangat kebersamaan.
“Setiap kali Ramadan, program ini antara yang paling kami nantikan. Melihat kegembiraan anak-anak yatim dan pelajar tahfiz yang hadir memberi satu kepuasan yang sukar digambarkan.
“Bagi kami, Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa tetapi masa terbaik untuk berkongsi rezeki, menyantuni mereka yang memerlukan serta mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga kerja dan komuniti,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan Imam Masjid Buluh Gading, Ustaz Mastura Mohamed, yang mengingatkan hadirin mengenai kelebihan bulan Ramadan serta kepentingan memupuk nilai keprihatinan dan kasih sayang dalam masyarakat.

Sebagai tanda keprihatinan, pihak hotel turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada tiga sekolah yang terlibat iaitu Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah, Sekolah Kebangsaan Ladang dan Sekolah Kebangsaan Rusila.
Tambah Suaibah, pihaknya berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan Primula Beach Hotel dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat.
“Walaupun mungkin kecil bagi sesetengah pihak, tetapi bagi anak-anak ini ia memberi kegembiraan besar. Itulah yang menjadi inspirasi kami untuk terus melaksanakan program seperti ini setiap tahun,” katanya.
Tag :