KEMAMAN, 24 Januari – Atlet para negara, Ahmad Zuaiman Shamsuddin, anak jati Kampung Meraga Beris, Kijal, mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara Merejam Lembing pada Sukan Para ASEAN Thailand 2025, meskipun ia merupakan penyertaan kali pertama beliau dalam acara tersebut.
Ahmad Zuaiman berkata cabaran terbesar sepanjang kejohanan adalah ketika berdepan saingan hebat di peringkat akhir dari Indonesia yang merupakan pemegang rekod acara ini, namun saya tidak menyangka berjaya meraih kemenangan.
“Acara lembing bukan acara utama saya. Saya hanya menyertainya dan latihan juga sangat terhad, iaitu hanya dua kali sebelum saya datang ke sini,” katanya ketika dihubungi pemberita pada hari ini.
Ahmad Zuaiman berkata acara kepakaran sebenar beliau adalah lompat jauh yang dijalani secara latihan sepenuh masa, manakala acara lompat jauh dijadualkan berlangsung pada 25 Januari.
Walaupun berdepan kekangan latihan, beliau menyifatkan kejayaan meraih pingat emas itu sebagai rezeki serta hasil doa orang ramai, khususnya ibu bapa.
“Alhamdulillah atas kejayaan ini. Saya sentiasa bersangka baik. Sebagai manusia kita berusaha dahulu dan selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT,” ujarnya.
Sementara itu, ADUN Kijal merangkap Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, turut mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan berkenaan.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Ahmad Zuaiman bin Shamsuddin, anak jati Kampung Meraga Beris, Kijal, atlet para negara atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara Merejam Lembing di Sukan Para ASEAN Thailand 2025. Kejayaan ini amat membanggakan seluruh warga Kijal dan negara,.
“Saya mendoakan agar Ahmad Zuaiman terus dikurniakan kesihatan, kekuatan serta kejayaan berterusan dalam bidang sukan,” ujarnya.
