lightning-solid
Berita :
Terengganu Wajibkan Pematuhan ESG Dalam Projek Perindustrian Baharu
Terengganu Wajibkan Pematuhan ESG Dalam Projek Perindustrian Baharu
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
49

KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Kerajaan negeri mewajibkan pematuhan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi semua projek perindustrian baharu menerusi Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030 (DPPPNT).

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata, kerajaan negeri memaklumkan dasar yang dilancarkan pada 12 Ogos lalu menjadi panduan utama bagi memastikan pembangunan sektor perindustrian dilaksanakan secara mampan.

"Bagi aspek alam sekitar, semua aktiviti perindustrian termasuk perlombongan perlu meminimumkan impak terhadap alam sekitar, memelihara ekosistem serta mematuhi keperluan kawal selia termasuk kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) mengikut jenis dan skala projek,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Mengulas lanjut katanya, dari aspek sosial pula, pelabur digalakkan mengutamakan pengambilan sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga kerja tempatan yang terdiri daripada rakyat Terengganu atau rakyat Malaysia, selain menyediakan peluang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), memperkasakan penyertaan Bumiputera Terengganu bagi sektor tertentu serta melaksanakan program pembangunan modal insan, latihan kemahiran dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Bagi memperkukuh tadbir urus, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Industri Negeri Terengganu (JPINT) bagi menilai permohonan pelaburan, memantau pelaksanaan projek serta memastikan pematuhan terhadap dasar, undang-undang dan syarat kelulusan,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri yakin pelaksanaan DPPPNT dan mekanisme pemantauan yang diwujudkan mampu merangsang pembangunan industri secara mampan, menarik pelaburan berkualiti serta mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.


Tag :

Artikel Berkaitan