DUNGUN, 27 Julai – Aqeesa Team muncul sebagai juara Alamanda Bola Jaring Piala Isteri YB ADUN Paka 2026, dalam kejohanan yang berlangsung pada Sabtu.
Manakala, pasukan Dynamic NC meraih gelaran naib juara dan Santai NC menduduki tempat ketiga.
To' Puan Sabariah Ilyas, isteri kepada ADUN Paka, Dato’ Haji Satiful Bahri Mamat yang menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, merakamkan ucapan tahniah kepada semua pasukan yang berjaya menampilkan aksi bertenaga serta semangat kesukanan yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Aqeesa Team atas kejayaan muncul sebagai juara.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa usaha, disiplin, kesungguhan dan semangat berpasukan mampu membawa kepada pencapaian yang membanggakan," katanya.

Beliau turut memuji semua pasukan yang mengambil bahagian kerana memberikan saingan hebat dan berjaya memeriahkan pertandingan berkenaan.
“Menang atau kalah bukanlah penamat.
"Setiap perlawanan menjadi ruang untuk kita belajar, memperbaiki kelemahan dan menjadi lebih baik pada masa akan datang.
“Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada semua peserta untuk terus berusaha, melakar lebih banyak kemenangan dan menginspirasi wanita lain untuk bergiat aktif dalam bidang sukan,” katanya.
Penganjuran pertandingan bola jaring itu bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat, malah mampu mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan wanita di DUN Paka.
