Berita :
Bayu Restaurant dinobat Premis Makanan Halal Terbaik Terengganu
Bayu Restaurant dinobat Premis Makanan Halal Terbaik Terengganu
Mastura Jamal Din
15 jam yang lepas
649

KUALA TERENGGANU, 17 Jun – Bayu Restaurant di Primula Beach Hotel mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Premis Makanan Halal Terbaik sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.

Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata, pengiktirafan tersebut merupakan pencapaian penting buat Bayu Restaurant yang julung kali menerima anugerah berkenaan di peringkat negeri.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan restoran berkenaan dalam mengekalkan standard halal, kualiti makanan dan kecemerlangan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Anugerah ini menjadi bukti bahawa Bayu Restaurant bukan sahaja menitikberatkan aspek halal, malah sentiasa berusaha memberikan pengalaman menjamu selera yang berkualiti kepada pelanggan.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga kerja yang komited dalam memastikan standard perkhidmatan terbaik dapat dikekalkan,” katanya.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Selain sijil penghargaan, Bayu Restaurant turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.

Beliau berkata, Bayu Restaurant telah mengekalkan Pensijilan Halal Malaysia sejak tahun 2010 dan sentiasa memastikan setiap aspek penyediaan makanan, kebersihan premis serta operasi perkhidmatan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Katanya, restoran itu turut menjalani proses transformasi pada tahun 2024 dengan menampilkan wajah baharu yang lebih moden, selesa dan mesra pelanggan bagi meningkatkan pengalaman menjamu selera.

“Pihak hotel akan terus memperkukuhkan amalan terbaik dalam penyediaan makanan dan perkhidmatan bagi memastikan Bayu Restaurant kekal sebagai antara destinasi pilihan pengunjung serta premis makanan halal berkualiti di Terengganu,” ujarnya.

Pengiktirafan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada Bayu Restaurant untuk terus meningkatkan kecemerlangan sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri hospitaliti dan pelancongan negeri.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan