Jalur Gemilang
Berita :
Belanjawan 2027: Terengganu Harap Agihan Adil, Keutamaan Negeri Diambil Kira
Belanjawan 2027: Terengganu Harap Agihan Adil, Keutamaan Negeri Diambil Kira
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
49

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Kerajaan Terengganu berharap pengagihan peruntukan menerusi Belanjawan 2027 dilaksanakan secara adil dan telus dengan mengambil kira keperluan serta keutamaan pembangunan setiap negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan Persekutuan seharusnya memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk menentukan dan mengurus projek yang benar-benar diperlukan rakyat menerusi peruntukan yang disalurkan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan projek yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan di negeri-negeri selari dengan keutamaan pembangunan yang telah dikenal pasti oleh kerajaan negeri.

“Rasanya sama juga harapan semua negeri supaya ruang kepada negeri-negeri untuk mendapat pengagihan yang lebih baik dan diuruskan oleh pihak negeri, bukan diuruskan oleh pihak Persekutuan semata-mata.

“Biarlah projek yang akan diumumkan nanti juga projek yang menjadi keutamaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu Bagi Tahun 2026 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan sesuatu projek kurang memberi makna sekiranya projek itu bukan keutamaan negeri, sedangkan terdapat keperluan lain yang lebih mendesak untuk diberi perhatian.

Sehubungan itu, katanya, perbincangan dan libat urus yang berterusan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri diperlukan bagi memastikan peruntukan serta projek pembangunan yang diluluskan memenuhi keperluan rakyat.

“Saya rasa libat urus sudah ada dibuat, tetapi kadang kala ‘wishlist’ daripada negeri itu tidak diambil kira dalam penentuan projek-projek berskala besar atau yang memberi kepentingan kepada rakyat.

“Jadi kita harap itu diambil kiralah dalam pembentangan bajet nanti,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan