Jalur Gemilang
Berita :
Harumkan Nama Negara, Atlet Terengganu Wakil Malaysia Terima RM117,200
Harumkan Nama Negara, Atlet Terengganu Wakil Malaysia Terima RM117,200
Mohd Irsyadi Abu Bakar
51 minit yang lepas
38

KUALA NERUS, 6 Oktober - Kejayaan membawa cabaran negara di pentas antarabangsa mendapat penghargaan apabila kerajaan Terengganu menyampaikan insentif berjumlah RM117,200 kepada atlet negeri yang beraksi pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2026.

Ganjaran menerusi Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) dan Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) itu membabitkan peruntukan RM29,000 bagi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland serta RM88,200 untuk Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun.

Pada temasya di Glasgow, enam atlet Terengganu mewakili Malaysia dengan dua daripadanya berjaya membawa pulang pingat.

Jaguh berbasikal negara, Dato' Azizulhasni Awang@Muda menyumbang emas dalam acara keirin, manakala Siti Aqilah Farhana Draman meraih perak menerusi acara angkat berat kategori +86 kilogram.

Bagi Sukan Asia pula, seramai 26 atlet Terengganu membawa cabaran negara dengan sumbangan pingat direkodkan dalam sukan berbasikal, sepak takraw, hoki, e-sukan dan pelayaran.

Berbasikal menyumbang satu emas dan satu gangsa, manakala sepak takraw meraih satu emas dan satu perak.

Hoki pula menyumbang satu perak, diikuti e-sukan dengan satu gangsa serta pelayaran yang meraih dua gangsa.

Insentif berkenaan disampaikan pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Insentif Kontinjen Terengganu SUKMA dan Para SUKMA 2026 di Hotel Raia di sini, semalam.

Pada majlis sama, kerajaan negeri turut menyampaikan RM1.558 juta kepada penerima insentif SUKMA dan Para SUKMA 2026.

Terengganu menamatkan saingan SUKMA 2026 di tempat ketiga keseluruhan dengan kutipan 123 pingat, terdiri daripada 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan