lightning-solid
Berita :
Belia Tani Perlu Ubah Model Pertanian Skala Kecil Kepada Lebih Tersusun
Belia Tani Perlu Ubah Model Pertanian Skala Kecil Kepada Lebih Tersusun
Abdul Fattah Kamarudin
19 jam yang lepas
58

MARANG, 12 Ogos  – Belia tani Terengganu dicadang supaya bergabung membentuk Syarikat Tujuan Khas (SPV) bagi mengubah model pertanian berskala kecil kepada perusahaan tani yang lebih tersusun, berdaya saing dan mudah mendapat pembiayaan.

Cadangan itu dibawa Muhammad Azim Bakhtiar Abdul Razak yang mewakili ADUN Belia Terengganu bagi kawasan Pengkalan Berangan dalam Mesyuarat Ketiga ADUN Belia Terengganu Siri Ketiga ketika membahaskan usul Kluster Pertanian dan Komoditi menerusi rangka kerja Konsortium Agro-Korporat Belia Terengganu (T-YACC).

Menurut Azim, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Terengganu mempunyai 73,051 pegangan pertanian pada 2023, iaitu jumlah tertinggi di Malaysia namun 99.1 peratus pegangan tersebut dimiliki individu berbanding hanya 0.9 peratus oleh pertubuhan.

Katanya, keadaan itu menunjukkan sektor pertanian masih banyak bergerak secara individu dan berskala kecil, sekali gus menyukarkan agropreneur belia untuk mengakses pembiayaan komersial serta mengurus risiko pasaran dan perubahan cuaca.

“Daripada 20 orang belia mengusahakan 20 plot satu ekar secara berasingan, mereka boleh bergabung sebagai pemegang saham dalam satu SPV yang menguruskan estet komersial seluas 20 ekar.

“Dengan struktur korporat ini, mereka mempunyai tadbir urus, aset dan rekod kewangan yang lebih tersusun, sekali gus meningkatkan keupayaan untuk mendapatkan pembiayaan berskala besar,” ujarnya ketika membentangkan usul tersebut.

Menurutnya, pendekatan berkenaan membolehkan belia beralih daripada model pertanian sara diri kepada perniagaan tani yang berorientasikan keuntungan dan mempunyai skala ekonomi.

Katanya, pembiayaan yang diperoleh melalui entiti tersebut juga boleh digunakan untuk membangunkan kemudahan moden seperti rumah hijau terkawal iklim dan teknologi Internet of Things (IoT), sekali gus membantu mengurangkan risiko kerugian akibat faktor cuaca termasuk musim tengkujuh.
Katanya, selain penyatuan melalui SPV, T-YACC turut mencadangkan perlindungan komersial kepada agropreneur belia menerusi perjanjian jual beli (SPA) yang lebih tersusun, usaha wajar terhadap pembeli serta perlindungan data pertanian.

"Dalam aspek pasaran pula, kerajaan negeri dicadang memainkan peranan sebagai pembeli penambat melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di samping membuka peluang pajakan tanah dan pemindahan amalan tadbir urus korporat kepada SPV belia.

"Bagi mengelakkan kebergantungan kepada satu pembeli, T-YACC turut mencadangkan konsep pempelbagaian 60/40, iaitu maksimum 60 peratus hasil boleh dikontrakkan kepada GLC negeri manakala sekurang-kurangnya 40 peratus dipasarkan kepada pihak swasta atau pengagregat eksport," jelasnya.
Usul tersebut turut mencadangkan perlindungan Agro-Takaful sokongan negeri bagi membantu melindungi SPV daripada risiko kewangan akibat kegagalan tanaman yang kritikal.

Dalam pada itu, ADUN Belia berkenaan berkata pendekatan korporat mampu menjadikan pertanian sebagai kerjaya yang lebih menarik kepada golongan muda, khususnya dalam keadaan kadar pengangguran belia Terengganu yang masih menjadi cabaran.

“Pertanian dan komoditi adalah aset kita. Aset yang telah tertanam dalam jiwa generasi demi generasi. Tanggungjawab kita adalah menaik taraf makna berbakti kepada alam supaya ia boleh menjadi sebuah kerjaya dan perusahaan yang memberikan masa depan kepada anak muda,” katanya.

Beliau berharap T-YACC dapat menjadi satu pendekatan baharu dalam membangunkan sektor pertanian belia, bukan sekadar melalui pemberian bantuan, tetapi dengan membentuk usahawan tani yang mempunyai struktur korporat, akses pembiayaan dan pasaran yang lebih kukuh.


Tag :

Artikel Berkaitan