Jalur Gemilang
Berita :
Bomba Ziarah Kanak-Kanak Cedera Dalam Insiden Perarakan Merdeka
Bomba Ziarah Kanak-Kanak Cedera Dalam Insiden Perarakan Merdeka
Mastura Jamal Din
10 jam yang lepas
269

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu hari ini menziarahi Che Ku Muhammad Khairul Amir Che Ku Mohd Khairul Azlan, kanak-kanak yang terlibat dalam insiden ketika perarakan jentera sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu.

Ziarah kasih itu diketuai Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, PgKB I Shahrin Yusmar Mat Yusof bagi menyampaikan sokongan moral serta salam daripada pengurusan tertinggi JBPM kepada Amir dan keluarganya.

JBPM Terengganu dalam kenyataan memaklumkan Amir merupakan antara peminat tegar pasukan bomba.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 pagi berhampiran Wisma Persekutuan apabila mangsa dipercayai terjatuh berhampiran sebuah treler bot ketika pergerakan perarakan jentera.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan hasil pemeriksaan mendapati dia tidak mengalami kecederaan serius, sebaliknya hanya kecederaan ringan.

“Bagaimanapun, mangsa masih berada di HSNZ untuk pemantauan dan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

JBPM Terengganu turut mendoakan agar Amir diberikan kesembuhan segera dan dapat kembali menjalani aktiviti seperti biasa.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak berusia tiga tahun itu mengalami kecederaan pada kaki kiri selepas terjatuh ketika sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menunda bot bomba mula bergerak di hadapan Wisma Persekutuan.

Menurut ibunya, Puteri Anis Athirah Wan Rosli, kejadian itu berlaku ketika Amir mengikuti kakaknya, Che Ku Nur Amirah Che Ku Mohd Khairul Azlan, 7, yang berlari ke hadapan untuk mengambil gambar berhampiran aset berkenaan.

Beliau berkata anggota bertugas ketika itu cuba mengalihkan Amir ke tepi bagi tujuan keselamatan sebelum kanak-kanak berkenaan terjatuh dan kakinya terkena tayar kenderaan yang sedang bergerak.

Hasil pemeriksaan sinar-X mendapati tiada tulang mangsa yang patah dan Amir masih berada di bawah pemantauan pihak hospital.

Puteri Anis Athirah turut dilaporkan berkata beliau tidak menyalahkan anggota bomba atau mana-mana pasukan keselamatan kerana menyifatkan kejadian itu sebagai tidak disengajakan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan