Jalur Gemilang
Berita :
Dr. Sam Bimbang Faedah Hutang Naik RM3.7 bilion, Pembangunan Hanya RM2 Bilion
Dr. Sam Bimbang Faedah Hutang Naik RM3.7 bilion, Pembangunan Hanya RM2 Bilion
Husaif Mamat
12 jam yang lepas
451

KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Kenaikan kos membayar faedah hutang yang mengatasi pertambahan peruntukan pembangunan mencetuskan kebimbangan terhadap kemampuan Kerajaan Persekutuan menyediakan sekolah, hospital dan kemudahan asas rakyat.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan 2027, dengan merujuk tambahan bayaran khidmat hutang sebanyak RM3.7 bilion berbanding RM2 bilion untuk pembangunan.

Berdasarkan angka yang dikemukakannya, bayaran khidmat hutang meningkat daripada RM57.3 bilion kepada RM61 bilion, manakala peruntukan pembangunan hanya naik daripada RM81 bilion kepada RM83 bilion.

“Dengan kata lain, pertambahan komitmen untuk membayar hutang lebih besar daripada pertambahan peruntukan yang disediakan untuk pembangunan negara.

“Keadaan ini wajar menjadi peringatan bahawa ruang fiskal kita perlu diurus dengan lebih berhemat dan berpandangan jauh,” menurut beliau.

Ahmad Samsuri mengingatkan bahawa peningkatan komitmen hutang membawa kesan yang melangkaui angka dalam penyata kewangan kerajaan.

Menurutnya, semakin banyak wang diperlukan untuk menampung bayaran itu, semakin terbatas ruang bagi membiayai keperluan rakyat.

“Apabila semakin banyak wang diperlukan untuk memenuhi bayaran khidmat hutang, ruang untuk membina sekolah dan hospital, menaik taraf jalan raya, memperluas bekalan air bersih serta meningkatkan kemudahan awam boleh menjadi semakin terbatas.

“Akhirnya, rakyat berisiko menanggung kesannya melalui pembangunan yang lebih perlahan, kemudahan yang tertangguh dan ruang bantuan yang semakin sempit,”ujar beliau.

Beliau turut mempersoalkan ketahanan kewangan kerajaan dengan merujuk perbelanjaan mengurus RM376.8 bilion berbanding hasil RM380.8 bilion.

Menurutnya, angka tersebut meninggalkan lebihan hasil sekitar RM4 bilion selepas perbelanjaan mengurus ditampung.

“Persoalannya, sejauh manakah kita dapat bertahan tanpa meningkatkan tekanan terhadap kewangan negara pada masa hadapan?,” katanya.

Menteri Besar Terengganu itu berpandangan kemampanan kewangan negara tidak seharusnya diukur melalui penurunan defisit semata-mata.

Sebaliknya, kerajaan perlu dinilai berdasarkan keupayaannya memenuhi keperluan rakyat, membiayai pembangunan dan menghadapi krisis tanpa menjejaskan kesejahteraan generasi akan datang.

Beliau turut mencadangkan Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri bagi memastikan pengagihan peruntukan dibuat berdasarkan keperluan sebenar.

Formula itu mengambil kira keperluan kewangan negeri, kemampuan menjana hasil sendiri, jurang infrastruktur serta perbezaan kos pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan