KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Simposium Wanita: Fiqh Darah Wanita Menurut Mazhab Imam As-Syafie menjadi platform penting dalam memberi kefahaman kepada golongan muslimat mengenai hukum berkaitan darah wanita.
Timbalan Pengarah Operasi, Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Wan Ahmad Zuki Wan Ismail berkata, ia memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan daripada individu berkemahiran dalam bidang tersebut khususnya berkaitan situasi yang memerlukan kefahaman mendalam mengenai hukum fikah.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Wanita: Fiqh Darah Wanita Menurut Mazhab Imam As-Syafie di Dewan Auditorium, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, walaupun pelbagai sumber maklumat boleh diakses pada masa kini termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya persoalan berkaitan darah wanita tidak semestinya dapat dijawab dengan tepat melainkan dengan merujuk kepada individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

“Ilmu yang dipelajari hari ini diharap bukan sahaja untuk kegunaan sendiri malah dapat menjadi panduan kepada rakan-rakan lain apabila timbul persoalan berkaitan sesuatu hukum,” katanya.