Jalur Gemilang
Berita :
EPIC Berhad Finalis Operator Pelabuhan Terbaik TXA Awards 2026
EPIC Berhad Finalis Operator Pelabuhan Terbaik TXA Awards 2026
Mastura Jamal Din
17 jam yang lepas
131

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober – EPIC Berhad,  anak  syarikat  Kerajaan Negeri terus mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Kemaman sebagai hab maritim dan logistik strategik apabila berjaya menjadi finalis kategori Operator Pelabuhan Terbaik pada Transport Expo Asia (TXA) Awards 2026.

Pencapaian itu meletakkan EPIC Berhad bersama dua pemain utama industri pelabuhan negara, Westports Holdings Berhad dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, yang muncul sebagai pemenang kategori berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen syarikat dan anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB), dalam meningkatkan produktiviti, kecekapan pengendalian kargo serta keselamatan operasi pelabuhan.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan turut menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh infrastruktur dan kapasiti Pelabuhan Kemaman bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.

“Pengiktirafan sebagai finalis ini membanggakan seluruh warga kerja Kumpulan EPIC dan menjadi dorongan untuk terus meningkatkan keupayaan pelabuhan dalam menyokong pertumbuhan industri serta pembangunan ekonomi Terengganu dan Pantai Timur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selain kecemerlangan operasi, KPKSB turut mengekalkan pengiktirafan MSOSH Gold Class I pada Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) MSOSH ke-44, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Menurutnya, Pelabuhan Kemaman menyasarkan peningkatan kapasiti pengendalian kargo kepada 30 juta tan metrik setahun menjelang 2030, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai hab maritim dan logistik strategik bagi memacu pertumbuhan ekonomi Terengganu serta Pantai Timur.

"Sasaran itu disokong pelaksanaan projek pembesaran pelabuhan, penambahan aset operasi dan pembangunan laluan sambungan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi meningkatkan keupayaan pengendalian kargo serta kecekapan rantaian bekalan industri.

Jelasnya, projek pembesaran Pelabuhan Kemaman melibatkan pembangunan tambahan fasiliti dermaga dan kerja penambakan laut, selain perolehan dua kren gantri serba guna serta peluasan kawasan terbuka untuk penyewaan.

Beliau juga berkata, pembangunan sambungan ECRL ke Pelabuhan Kemaman pula dijangka meningkatkan integrasi pengangkutan rel dan maritim, sekali gus menyokong pergerakan kargo yang lebih cekap serta memperkukuh hubungan logistik antara Pantai Timur dengan rangkaian pengangkutan negara.

Secara keseluruhan katanya, pelaburan dalam peluasan kapasiti, pemodenan fasiliti dan integrasi pengangkutan itu dijangka memperkukuh peranan Pelabuhan Kemaman sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri, di samping membuka ruang kepada peningkatan aktiviti perdagangan dan industri di Terengganu serta Pantai Timur Malaysia.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan